Karipap

 18 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Cuaca sangat panas. Lama dah tak hujan. Bila lari sikit, peluh lenjun. Lama-lama, garinglah muka. Huhu.. garing pun garing la. Muka hitam takpe, asal hati jangan hitam. Chewah, hehe...


Larian kejiranan pagi tadi adalah sejauh 13.11 kilometer. Bila keluar lari, wangi. Bila habis lari, badan bau kambing. 😁

Suami saya kerja petang semalam, pagi tadi, sampai rumah sebelum saya keluar jogging. Dia bawa balik durian lagi! Oh, tidak...!


Durian hari tu pun, jenuh saya habiskan sorang. Tapi, cantik isi durian ni. Tadaaa...


Yang kiri tu, kuning dan tebal isinya. Yang kanan, mungkin akan dibuat kuah durian kot. Tengok la dulu.

Durian simpan dalam peti ais dulu. Tak boleh makan pagi tadi, sebab saya minum kopi. Masa suami berehat, saya masuk ke dapur, saya masak inti karipap.


Saya letak daging dan kentang. Dah siap, saya biarkan inti karipap sejuk. Saya uli doh nya pula. Lepas dah uli, saya buat bentuk bola kecil-kecil, siap-siap. Pastu, berhenti kerja sekejap, solat zohor dulu.

Ok, dah settle solat, sambung projek karipap. Suami pun datang tolong. Dia lenyek bebola kecik doh tu, manakala saya tukang isi inti dan kelim karipap.

Karipap inti daging dan kentang. Belum digoreng.

Karipap inti angin. 

Karipap inti angin tu, karipap kosong la. Hehe.. mesti korang gelak. Dah, ape ke jadahnya, buat karipap inti angin ni? Sebab anak kedua saya, sejak kecik, suka makan karipap kosong. Kalau beli karipap, dia buang inti, dia makan kulit je. Rezeki anak kedua, dapat banyak. Sebab inti daging sudah habis, maka saya pun terbuat banyak karipap angin. 😁

Lepas siap buat, terus saya menggoreng. Suami kena pergi hospital, buat swab test covid. Ofis dia telah mewajibkan staf buat ujian covid setiap 2 minggu. Makin besor la lubang hidung dia yang sudah sedia besor tu. Sementara dia pi hospital, saya goreng karipap.

Karipap daging. Sudah goreng.

Karipap angin

Balik dari hospital, suami saya cakap, karipap saya buat sedap. Anak-anak pun cakap sedap. Kembang kuncup lubang hidung saya, kena puji. Saya juga goreng lebih, untuk bagi kat sahabat lari saya, yang bagi saya bihun sup daging hari tu.

Dia pun cakap sedap. Dia kata, kalau saya buat karipap frozen dan jual, mesti laku keras. Kulit karipap rangup. Inti pula, sedap. Hehe... Alhamdulillah. Sebenarnya, saya dan suami ada merancang, bila dia dah pencen, balik kampung, kami nak buka kedai, nama kedai, "The Karipap Shop". Jual karipap je. Pelbagai jenis inti karipap ada. Karipap angin pun nak jual. Dah tentu harga murah, tak macam karipap ada inti. Boleh juga buat income tambahan, sebab suami kerja swasta, takde pencen. Tengok ler... angan-angan je. 

Sekian cerita hari ni.

Jumpa lagi, ye. 😊

Spagetti dan ayam masak lomak

 17 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Semalam kan, saya masak spagetti meatball untuk berbuka puasa.


Meatball tu, saya beli yang frozen je. Tak cukup rajin untuk uli bebola daging sendiri. Saya buat macam goreng mee. Saya tumis bawang merah dengan cili api, lepas tu, saya tambah sos spagetti adabi satu tin. Meatball pula, saya goreng terlebih dahulu, baru saya campur bersama spagetti. Kadang tu, takde selera dah makan nasi. Boleh la makan spagetti.

Pagi tadi, saya keluar berlari di kejiranan.


Jarak larian pagi tadi adalah sejauh 10.55 kilometer. Tak larat, mungkin sebab 3 hari tak lari. Rasa lemau. Kaki pun rasa berat. Balik lari, duduk kat buaian, melepaskan lelah. Oyen pun datang, nak manja. Selfie dengan dia la. Entah kena sampuk apa, pergi edit gambar dengan sticker kucing. 


Manja tau, budak Oyen ni. Nama Oyen, tapi bulu dia lebih banyak hitam. Kucing saya semua kurus-kurus belaka. Kadang tu, teringin nak bela kucing gemuk, macam kucing arwah mak saya dulu. Baru sedap  nak peluk. Oyen punya moyang asalnya, kucing pendatang, datang ke rumah, mintak makan. Mula-mula bagi makan nasi dengan ikan. Pastu bagi cat food. Lama-lama, beranak pinak kat rumah. Tapi bagus bela kucing ni, sebab dia selalu tangkap tikus, lepas tu letak depan pintu. Bukan tikus je, aritu dia bawa balik kelawar. Burung merpati pun dia tangkap juga. Saya selalu letak nasi kat atas rumput, bagi burung makan. Budak bulu ni, pergi tangkap burung yang tengah makan nasi. Bertuah punya budak bulu. Dulu, Oyen punya tok, pernah bagi warning kat suami. Suruh dia duduk luar, dia tak nak. Dia duduk depan mesin basuh, tengok je kat bawah mesin basuh tu. Rupanya, ada anak ular duduk situ. Dia nak tangkap. Agaknya tu pasal keturunan kucing yang saya bela ni, takde yang gemuk kot. Jenis spesies kucing pemburu. Makan banyak, tapi badan slim je, dan suka tangkap binatang.

Suami saya dapat temujanji cucuk vaksin semalam, dan temujanji dia pukul 11.30 pagi hari ni. Sementara dia pergi cucuk, saya masuk dapur, masak ayam masak lemak cili api.


Gambar masa atas dapur lagi, belum siap. Bila suami balik, dia cakap, dia tak rasa apa-apa pun. Betul la tu, lain orang, lain side effect-nya. Dia dapat pfizer juga, macam saya. Saya cakap, tunggulah petang sikit. Mula-mula memang takde rasa apa-apa. Macam saya hari tu, petang baru start rasa lenguh. Malam terus sakit tangan. Dia kata, masa cucuk pun, tak rasa jarum. Dia tak tengok masa dicucuk. Tapi nurse tunjuk pada dia, jarum sebelum dan selepas. Jadi, nampak picagari tu kosong selepas dicucuk. Kita tunggu dan lihat saja la. Nurse tak bagi dia buat aktiviti berat seminggu. Suami ada makan ubat kolesterol dan kencing manis. Petang ni, dia dah pun pergi kerja. Semoga tak apa-apa la, suamiku tersayang. Hehe...  

Ok la. Jumpa lagi, ye. 😊

Hidangan penyambung nyawa

 16 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Semalam, saya masak lauk hidangan penyambung nyawa. Resepi ni, saya olah dari resepi asal dalam rancangan Family Kitchen with Sherson, yang ditayangkan di saluran Asia Food Channel (AFC). Dalam rancangan tu, Chef Sherson masak bersama ibunya, Ann. 

Photo credit: TheCraversGuide

Saya pun ingat-ingat lupa, resepinya, sebab dia masak ni dalam musim pertama, sekarang rancangan ni dah masuk musim keempat. Tapi, basically, dia guna apa yang ada dalam peti ais. 

Tumis bawang yang dihiris dengan cili api, campak la ubi kentang yang telah digoreng, atau kalau ada lobak, boleh je, campak lobak jugak. Dalam kes saya semalam, saya cuma ada suhun, kentang dan ikan bilis.

Ikan bilis tu, goreng garing dulu, awal-awal. Boleh tambah kicap manis. Last sekali, tutup api, baru campak ikan bilis goreng. Jadi, crispy la. Makan dengan nasi panas-panas, mak aii... bertambah nasik! 

Hidangan penyambung nyawa versi saya

Saya punya jadi merah, sebab awal-awal lepas bawang layu, saya masukkan sambal belacan. Hehe.. pastu, baru letak kicap.

Selain lauk di atas, saya goreng ikan cencaru sumbat.


Saya tumbuk cili merah dengan bawang, belacan sikit dan serai. Pastu, sumbat masuk dalam ikan cencaru. Sedap, wei.... masuk bakul angkat sendiri.

Tiada aktiviti berlari hari ni, kerana puasa sunat Isnin. Jadi, saya share gambar makanan semalam. Hehe..

Baiklah. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Brisk walk je...

 15 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Salam hujung minggu kepada semua pembaca yang saya hormati sekalian. 😊

Semalam petang, saya keluar berjalan dengan suami. Jalan je, bukan lari. Saya dapat rasa jantung macam laju, lepas vaksin pada hari Jumaat lepas. Itu yang saya tak lari tu. Jalan sekadar nak melancarkan peredaran darah. Sejenis manusia yang tak boleh duduk diam. 


Saya jalan-jalan dengan suami, di Esplanade Lumut. Kurang 40 minit berjalan, dengan jarak sejauh 1.8 kilometer. Gambar menunjukkan laluan untuk beriadah, berjogging, di Esplanade Lumut, Perak. Banyak pokok. Banyak juga tempat duduk. Orang tak ramai pun.

Lepas saya jalan petang semalam, kurang sikit rasa sakit tangan saya ni. Hari ni, terus hilang. Dah ok! Dah boleh lurus tangan ke atas, tanpa rasa sakit. Alhamdulillah.

Pagi tadi, pun saya pergi berjalan dengan suami lagi. Pun di tempat yang sama.


Cuma pergi jauh sikit pagi tadi. Lebih 1 jam juga, berjalan makan angin pagi tadi. Jarak adalah sejauh 4.22 kilometer. Sambil-sambil tengok laut dan matahari naik. Jom tengok gambar yang saya sempat ambil.

Langit pagi di Esplanade Lumut. 

Kipas kincir angin ye nama dia, saya pun tak pasti. Dah ada situ lama dah, sejak saya kecik lagi.

Nun di kejauhan, bot tunda tengah angkut batu hitam.

Banyaknya merpati dekat jeti ke Pangkor

Kucing jalanan tengah berehat. Lain kali boleh bawa catfood.

Pili bomba dekat laluan jogging Esplanade Lumut.

Seronok dapat jalan-jalan dengan suami, tengok pemandangan dan laut. Segar rasanya. Cadangnya, esok kami nak puasa sunat Isnin. Cuti lari lagi esok. Hehe..

Korang pergi mana tu? Masak apa? Makan apa? 

Semoga hari minggu anda semua ceria-ceria belaka. 😊

Jumpa lagi, ye.

Cerita 3 hari

 14 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Pejam celik, pejam celik, 3 hari juga saya tak update blog. Mari kita tengok apa yang berlaku dalam 3 hari ni.

Hari Khamis lepas, saya lari di kejiranan.


Larian kejiranan Khamis sejauh 11.96 kilometer.

Saya tolong sorang kawan lari saya ni, untuk connect akaun garmin dia ke strava. Jadi, bila berlari, dia cuma bawa jam, tak perlu bawa handphone dah, untuk record larian dia. Keluarga dia pula, ada buat ibadah korban masa raya haji. Kampung dia dalam 10 km radius je dari sini. Untungla, boleh balik jumpa orang tua. Dia buat bihun sup daging, guna daging korban. Dia sedekah saya sikit.

Bihun sup daging

Dari gambar, nampak macam simple je. Saya belum kacau. Bawah tu, ada sambal kicap. Tapi memang simple pun, dia masak. Dia masak sup daging guna pressure cooker. Sebelum tu, rebus dulu daging korban dalam periuk. Masa rebus kan, segala minyak, lemak-lemak daging yang color hitam tu akan keluar, kan. Dia tukar air rebusan 3 kali. Air kurang, tambah air. Ulang 3 kali, baru dia masak guna pressure cooker. Lembut giler, daging dia. Tulang rawan pun lembut. Boleh gigit. Penuh dengan rasa. Sedapnya, Alhamdulillah. 😋

Baik. Hari Jumaat pula, iaitu semalam, saya lari di kejiranan juga.


Larian kejiranan Jumaat adalah sejauh 13.07 kilometer. Saya dapat lencana berikut dari aplikasi Strava.


Sudah melepasi 200 kilometer jarak saya berlari dalam bulan Julai ni.

Semalam tengahari, saya ada temujanji cucuk vaksin. Saya sorang. Selalu, suami isteri sama-sama cucuk. Saya daftar sorang. Saya ada ajak dia masa daftar vaksin di mySejahtera, tapi dia cakap, nanti, nanti. Jadi saya pun jalanlah dulu. Saya kena panggil dulu. Hehe.

Cepat betul. Masa dah amik nombor, untuk isi borang. Saya tak tahu borang tu, ada 2 salinan. Bila saya tengok orang sebelah, ada sukarelawan tu, tunjuk, borang tu ada 2 salinan. Kelam kabut saya isi salinan kedua. Nombor pun nak dipanggil. Terus jadi 'cantik' tulisan saya. Lepas submit borang, jumpa doktor pula. Saya bawa ubat yang hospital bagi saya makan, senang cerita. Doktor luluskan saya untuk cucuk. 

Masa nak tunggu giliran masuk dewan untuk cucuk tu. Ada 2 bahagian kat luar dewan. Dia bahagikan, dos pertama, tunggu belah kiri. Dos kedua, tunggu belah kanan. 

Petugas panggil baris demi baris, masuk ke dalam dewan. Bila baris paling tepi dah masuk dalam dan kosong, maka baris di tepinya, berganjak ke barisan kosong tu. Penerima dos pertama nampak berdisplin. Tapi, penerima dos kedua, yang majoritinya orang tua, tak ikut giliran. Bila baris paling tepi dipanggil masuk, ada orang dari baris belakang, potong queue, pergi duduk di barisan kosong tu. Ada uncle ni, dah 2-3 kali nak berganjak ke barisan kosong tak dapat, dia pun hangin la. Dia cakap,"Saya sudah tunggu lama, tak dapat masuk!" Bising dia. Siapa tak angin, kan. Saya tengok je. Yang peliknya, orang tua yang potong barisan ni, tau. Bukan ke orang tua patut tunjuk teladan yang baik, supaya jadi contoh kepada orang muda? Ni tak, penting diri sendiri belaka. Ish, pelik saya, tau. Saya tengok semua orang macam dah tak sabor-sabor nak cucuk. Tu belum cerita belakang tabir. Ada orang guna kabel, untuk cucuk vaksin awal. Yang muda, dah dapat. Yang umur 40an, 50an pun ramai yang tak dapat lagi. Tapi inilah situasi kita, di negara kita. Bila anda ada kaki, maka anda akan ke depan. Tinggallah orang yang bukan kaki kabel di belakang, menunggu dengan sabar. 

Saya Alhamdulillah, bernasib baik. Kadang tu, saya rasa, Allah tolong. Kalau kita tahajud, buat solat sunat, bila kita letak Dia nombor 1, hidup kita pun jadi senang. Dari pemerhatian saya la. 

Saya ni, cuma daftar kat mysejahtera je. Lama dah. Sejak mula-mula pendaftaran vaksin dibuka. Rezeki juga semalam, saya dapat pfizer. Tak kisahlah tu, sinovac ke, pfizer ke, astrazeneca ke, asal cucuk vaksin. 

Sekarang ni, macam dah kelam kabut sikit. Sebab ramai yang tak dapat. Pastu, kerajaan suruh siapa nak cepat, beli kan, melalui company. Pastu, macam tak adil, umur muda-muda, yang masih belajar U, dah dapat, sedangkan ada orang tua belum dapat. Saya cakap benda berlaku di tempat saya ni. Di tempat anda, di negeri anda, wallahualam. Hujung-hujung, kita fikir baik-baik sajalah. Yang daftar awal, dapatlah awal. Yang daftar lambat, lambatlah dapat. 

Sebab dulu, lain. Dulu, kes covid macam jauh je. Sekarang ni, yang kena positif covid, kawan kita punya family. Dah dekat. 

Saya pun dah start pakai 2 lapis mask. Dalam surgical, luar fabric. Ni semua sebab si varian delta dan beta tu, kappa la, alpha la. Sebab saya jarang berada di tempat ramai orang. Semalam masa kat pusat pemberian vaksin (PPV) tu la, julung-julung kalinya saya berada dalam kelompok ramai manusia setelah sekian lama. Saya lari di kejiranan pun, saya jarang selisih orang, tak sampai 5 orang la, sepanjang berlari, itu pun jarang-jarang. Melainkan saya pergi ada satu tempat orang ramai berlari ni, tapi itupun tempat tu luas dan terbuka, oleh itu, memang orang lari jarak-jarak, takde yang dekat. Semalam kat ppv tu, baru saya dapat tengok pelbagai orang, macam-macam perangai, tua, muda.

Panjang pulak saya tulis. Bila sekali keluar, baru dapat perati orang, kan. Lepas pemerhatian 15 minit, saya takde rasa apa. Ok je. Cuma tangan rasa sejuk. Balik rumah, tangan rasa lenguh. Hari ni, tangan rasa sakit. Bila nak luruskan tangan ke atas, rasa sakit. Tapi, takde rasa nak demam ke apa. Temujanji saya pukul 1.30 tengahari. Saya tiba di PPV pukul 1 tengahari. Saya selesai urusan cucuk pukul 2.30 petang. Ok la. Kawan saya, rata-rata lama kena tunggu, sampai 3 jam pun ada, untuk dos pertama. Saya tak berlari hari ni, cuti. 


Jalan boleh, lari tak boleh, ye, lepas cucuk vaksin. 

Saya tak ambil gambar apa-apa, kenangan cucuk vaksin. Hehe.. 

Tu je la nak cerita. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Selamat ari raye aji

 11 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Selamat Hari Raya Korban pada semua pembaca sekalian. Semalam saya tak online. Baru ingat nak online untuk bayar bil, tapi suami cakap, cuti la. Baiklah, encik. Hehe.. Apa yang dibuat semalam? Makan la, sambil terbongkang layan tv. 😁

Tahun lepas, saya dan keluarga balik Kelantan, kampung suami. Hari Raya Haji memang meriah kat sana. Sembelih lembu kat rumah je, bukan kat masjid. Dalam satu keluarga, mesti ada sorang yang pandai sembelih lembu. Bila masak, daging rasa lembut je. Kalau masak kambing pula, takde bau hanyir kambing. Sedap je. Rempah orang sana tak sama macam rempah kari kita. Lain kali bila dah boleh rentas negeri, saya nak beli rempah kari dan kerutup banyak, buat stok. Hehe.. Lepas tu, masa raya haji sana, rasa gemuk, sebab makan daging banyak. 

Tahun ni, raya di rumah saja di Perak. Suami saya bertugas masa hari raya. Kalau dia dapat cuti pun, bukannya kita boleh rentas daerah atau negeri tahun ni. Apa nak buat. 

Saya tak masak apa-apa menu raya pun, seperti rendang ke. Masak lauk biasa je. Meh tengok hidangan pagi raya semalam.


Ikan keli berlada dan sambal paru goreng tu, lauk tunjuk hari sebelumnya. Saya perangat je. Nugget tak tinggal, masak guna air fryer je.


Ikan pelaling goreng. Saya beli ikan pelaling segar sekilo hari sebelumnya. Saya pun kadang keliru juga nak bezakan antara ikan mabong, ikan kembung dan ikan pelaling, kalau penjual tak letak label nama ikan. Yang saya tahu, ikan mabong besar dari ikan kembung. Ikan pelaling pula, kecik je. Bila goreng garing, sedap.


Budu, letak cili padi, bawang dan limau nipis. Ayam gunting beli petang hari sebelumnya. Ada budak tak makan, jadi perangat. Ayam gunting yang brader ni jual, sedap. Dia banyak kali celup tepung. Isi ayam pun tebal. Selalu beli dengan brader ayam gunting ni. Support peniaga kita. Selain tu, ada ulam kacang panjang dan bendi. Bendi adalah ubat sakit lutut. Rahsia saya boleh lari jauh, bendi la. Tak perlu beli supplement kat farmasi tu. Celur camtu je. Dulu saya pun tak suka makan bendi, sebab lendir dia tu. Tapi dah tua, baru tahu khasiatnya. Makan je. Bendi warna hijau light tu, sendiri tanam. Bendi yang warna hijau dark tu, beli kat kedai. Ada 1 je pokok bendi kat rumah. 

Makan lauk simple macam ni pun dah sedap. Budu sedap! 😋

Itu cerita hidangan semalam. Hari ni pun, lauk lebih kurang sama. Saya tak sempat masak nasi dan lauk pagi ni. Suami balik kerja shif malam, sampai rumah pukul 8 pagi, dia tolong masak lauk. Nasi semalam masih ada, perangat je.


Sarapan saya pagi ni adalah nasi dengan ikan pelaling goreng dan sayur kobis campur lada benggala, yang dimasak oleh suamiku tersayang. Hehe... 

Sesekali makan lauk suami masak memang sedap. Dah tak lalu makan benda masak sendiri. Rindu air tangan orang tua. Huuuu.... 

Setelah 2 hari tak beriadah, iaitu hari Isnin dan Selasa. Hari Isnin puasa hari Arafah dan semalam pula hari raya haji. Pagi tadi, saya berlari di kejiranan.


Larian hari ni adalah sejauh 11.13 kilometer. Tak larat lari, sebab makan banyak. Betis ada rasa sedikit lenguh sebab hari Ahad lepas lari half marathon tapi tak buat recovery keesokannya. Takpe, slow-slow. Alhamdulillah.

Ok lah.

Semoga urusan anda semua pada hari ni dipermudahkan, ye.

Oh, lupa nak cakap. Saya dah dapat tarikh temujanji untuk vaksin covid pada hari Jumaat ni. Terkojut saya semalam. Dapat sms, dia suruh check tarikh temujanji di mySejahtera. Takut pulak saya. Bukan takut jarum. Tapi sebab suami saya ada cerita, yang jarum tu orang cucuk je, tapi tak picit pun vaksin tu masuk. Lepas tu, ada yang ada nanochips la, letak magnet, lekat kat lengan. Ish, macam-macam. Tawakal je la. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Cuti lari

 9 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Hari Arafah. Selamat berpuasa, kepada yang berpuasa, ye.

Saya tak lari hari ni. Puasa. 😊

Sahur lauk simple je, pagi tadi.


Alamak, banyaknya nasi saya. Nasi dengan sambal bilis belimbing buluh, telor dadar letak tomato dan bawang, dan ulam kacang panjang. Sambal tu, saya beli, di Lesung Mart. Teringin nak cuba. Di kedai Lesung Mart, ada banyak produk dihasilkan oleh usahawan bumiputera, baik produk kering atau basah. Sedap juga rasa sambal tu. Gaul dengan nasi. Alhamdulillah.

Lepas subuh, mengaji sekejap, siram pokok, sidai kain, dan saya menjahit kejap. Dah berhabuk mesin jahit saya. Lama tak guna. 

Mula-mula, saya alter seluar.


Pinggang dah longgar. Bila jalan, seluar melurut ke bawah slow-slow. Walaupun berat lebih kurang, tak turun banyak, tapi ukuran pinggang mengecil sikit. 

Cara paling senang dalam gambar di atas. Saya jahit di bahagian belakang seluar. Banyak je cara tutorial dekat youtube, ajar kita camana nak kecikkan pinggang seluar. Pilih je mana sesuai dengan kita, guna mesin jahit, atau jahit tangan. Settle alter pinggang seluar, saya pendekkan panjang seluar lain pula.


Sejenis manusia yang suka lipat kaki seluar bila kaki seluar panjang. Hari ni sedikit rajin, saya potong lebihan kaki seluar yang panjang. Dan saya lipat 2 kali di bahagian hujung kaki. Lipat sekali, jahit. Lipat lagi sekali, jahit overlap atas lipatan pertama tadi.

Settle 2 perkara. Seterusnya...


Saya jahit belahan dress yang ter-over koyak. Dress pakai di rumah, ada belah sikit di bahagian kiri dan kanan. Kat rumah takpe pakai seksi-seksi, nanti suami geram, suruh dia beli tudung baru kat shopee. 😁 Hehe.. Tapi dress ni, belahan dia sudah sampai ke atas, sampai ke bahagian bontot, apa cer... jahit la balik, bagi kurang belah.

Memang senang ada mesin jahit di rumah. Apa-apa kerja meng-alter pakaian, dapat siap dengan cepat. Bukan susah pun nak jahit ni, jahit lurus je. Mesin jahit tu, bukan saya beli. Subsidi, kawan baik saya bagi, masa dia nak pindah rumah dulu.

Ok la. Hari ni, nak berbuka dengan apa?

Suami saya dah bawa balik lauk tunjuk. Hehe.. bestnya, tak payah masak. 

Semoga puasa dan amalan kita diterima oleh Allah. 

Kredit gambar: Mysumber

Jumpa lagi, ye. 😊

Half marathon kedua Julai

 8 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Bangun pagi je masak. Masak je, pagi-pagi. Hehe.. kalau tak masak, anak lapor. Macam anak burung. Budak-budak ni, masa bangun dia orang tak sama. Ada yang bangun pukul 5 pagi, dah tercongok depan PC. Ada yang bangun pukul 6.30 pagi. Mama pula bukan cassette player, yang boleh rewind dan play berulang kali, cakap benda yang sama. Jadi, saya selalu tulis menu sarapan kat satu papan hitam kat rumah ni.


Asalnya, saya beli papan hitam ni, masa PKP tahun lepas, untuk ajar Abang Su matematik. Cikgu tuition di rumah. Lepas tu, dah tak guna untuk ajar anak. Guna untuk tulis jumlah lompatan bila lompat tali dalam rumah. Lepas tu, dah tak guna dah. Sekarang, saya guna untuk tulis menu sarapan of the day. Hehe.. Senang, supaya anak-anak tahu apa nak cari, bila saya takde rumah, pergi lari.

Dalam gambar di atas, simple bebenor menu sarapan hari ni. Hari malas mama. Goreng telor, masak nasi je. 😁 Tulisan tak lawa, tu pasal tak boleh jadi cikgu. Nanti anak-anak murid tak paham cikgu tulis apa.

Pagi ni, kawan saya mesej, dia nak rehat. Jadi, saya lari solo di kejiranan. Cuaca pula baik, tak berapa panas. Jadi, saya buat half marathon kedua untuk bulan Julai ni.


Tiada rekod baru dicatatkan, tapi tak kisahlah tu, kita santai-santai je, layan kejiranan, tengok pokok bunga, tengok kucing, bau orang goreng ikan kering, bau kari, enjoying the run.

Dapat lencana berikut dari aplikasi Garmin Connect:


Sudah mencapai 300 ribu langkah di bulan Julai ni. Alhamdulillah, atas nikmat sihat Allah pinjamkan.

Dekat aplikasi Strava pulak, saya dapat lencana berikut:


Entah berapa banyak kali dia nak bagi lencana ni kat saya? Hari tu, si Strava ni dah bagi dah. Dah dia bagi lagi, saya tepek saja lah sini, ye.

Harini, sebab saya sorang lari, jadi saya mengikut ke mana hala kaki saya bawa. Bila bunyi anjing salak, oh mak, terkejut, tapi mujur anjing yang salak duduk dalam pagar belaka. Meh kita tengok laluan saya lari hari ni.


Yang paling best, bila lalu depan McD, harum bau hashbrown! Menggoda betul. Nasib baik tak bawa facemask. Kalau bawa, saya singgah, tapau breakfast. Hahaha.. hari Ahad juga tak banyak trafik. Orang tidor je kat rumah. Jadi, seronok berlari hari Ahad. Lagi satu yang best, bila kita buat half marathon adalah, kita boleh makan banyak lepas tu. Kenapa?


Tengoklah kalori burn saya, 1102. Mari kita cari chocolate cake! Kikiki....

Ok la.

Selamat beristirehat di hujung minggu.

Jumpa lagi, ye. 😊

Selamat bercoti...

 7 Zulhijjah 1442 Hijrah.

Semalam saya tak sempat nak blogwalking ke rumah kawan-kawan. Suami saya balik kerja, bawa balik kuih dan kopok lekor, buat minum petang. Saya pun tanpa berlengah masa, off laptop, serbu... kopok lekor panas-panas. Hehe... dasar jenis kuat nafsu makan. Laptop tak boleh dibiarkan on dalam bilik panas. Bilik kerja saya semalam panas sikit. Nanti jadi insiden bateri laptop bengkak cam dulu, naya... 😁

Awal pagi tadi, saya masak nasi goreng petai lagi.


Buat perabih stok petai. I like petai! 😋


Larian di kejiranan pagi ni adalah sejauh 11.52 kilometer. Kalau perasan dalam gambar di atas, belakang tu, suami saya tengah potong rumput. Dia off kerja hari ni. Alhamdulillah, ada mesin rumput elektrik dah, beli kat shopee. Sebelum ni, penat tangan makcik, menebas rumput guna sabit. 

Sementara suami potong rumput, saya sidai kain. Lepas pakcik tu habis potong rumput, kami pun sarapan sama, nasi goreng petai. Pekena dengan secawan kopi. Yummy... 😋

Anak-anak kita cuti PdPR seminggu kan. Selamat beristirehat kepada mak-mak dan bapak-bapak budak sekalian. Hehe..

Salam hujung minggu. Jangan rentas daerah dan negeri pulak ye, duduklah di kawasan masing-masing. Semoga kita semua dilindungi dari virus covid.

Jumpa lagi, ye. 😊