Sunday, 31 January 2021

Masak dan makan lagi

 Baru-baru ni, masa saya ke kedai runcit, saya terjumpalah roti gardenia puazz! yang baru tu.


Saya baru pertama kali cuba perasa kari ayam. Yang biasa saya beli selama ni, adalah sambal bilis. Boleh tahan sedap perasa kari ayam ni. Saya rasa, inti kari ayam tu, macam inti pau pulak, yang saya pernah beli. Dalam pek tu, ada 2 ketul roti bun inti kari ayam. Sedap. 😋 Lebih suka perasa ni lagi, banding sambal bilis. 

Hari Jumaat lepas, suami ada belikan nasi berlauk gulai ayam untuk sarapan. 


Banyak betul nasi dia. Tapi sedap. 😋 Dah lah saya tengah mode malas berlari. Lepas makan, rasa gemuk. Huhu... 

Hari yang sama juga, saya masak ayam masak merah untuk lauk hari tu.


Dah lama tak masak lauk ayam merah. Alhamdulillah. Lepas siap masak tu, ada lagi pisang 3 biji, yang dah masak ranum. 


Saya pun buat la muffin pisang. Tak sangka, laku keras. Habis muffin ni tak sampai petang.

Keesokan harinya, saya ada buat kuetiau goreng.


Tengoklah kuetiau saya. Tak letak kucai dan tauge pun. Kalau saya letak, nanti anak tak makan. Dia bila kena pilih-pilih sayur letak tepi, dia pun jadi malas makan. Jadi, saya pun tak letak la. Saya jarang-jarang goreng kuetiau. Tapi boleh tahan sedap, suami kata. Dia siap bawa bekal pi ofis. 😁

Tak habis-habis masak dan makan. Lari tak pun. Masih melayan rasa malas tu. Tapi, saya takdelah terbongkang depan tv. Saja, ambil masa merilekskan badan. Dia bila dah cukup quota langkah 300,000 sebulan, automatik kaki jadi malas. Huhu... 

Esok dah pun masuk bulan baru. Februari sudah. Masa untuk kita cuba lebih baik. Bulan baru, hari baru. Berusaha! 

Tomato tanam sendiri

 Baru-baru ni, saya cabut semua pokok tomato yang saya tanam. Sebab banyak sangat serangga kutu putih  berterbangan di bawah semua daun setiap pokok. 

Ada dalam 4-5 pokok tomato juga saya cabut. Tapi saya ambil buahnya, walaupun saiz dia kecik-kecik, dan tak masak lagi. Warna hijau.

Hari pertama

Ada satu buah yang macam masak sikit. Bila tekan, semua masih keras. Tomato ni, dia masak atas pokok ke, atau camana? Saya pun tak tahu, sebab ni pertama kali saya tanam. 

Saya simpan kesemua tomato dalam bekas, letak dalam rumah. 

Hari kedua

Bila saya tengok keesokan harinya, makin banyak tomato bertukar warna ke warna merah. Jadi, memang kita kena petik waktu dia hijau ke, dan dia akan bertukar warna ke merah? Sebab saya ada tengok cerita korea ni, dia punya tomato masak di pokok, dia petik dan terus makan, sebab tomato dia dah masak. 

Hari ketiga

Bila hari ketiga, makin banyak bertukar warna merah. Bila tekan, macam tomato yang kita beli di pasar. Dah lembut sikit, banding hari pertama saya ambik. Esok boleh la guna untuk masak. Saya dah simpan dalam peti ais. 😊

Saturday, 30 January 2021

Pizza

Banyak hari saya tak update sini.

Saya cuma manusia biasa. 

Ada hari, saya rasa malas. 😁

Saya tak lari dah banyak hari. Oh no.... huhu...

Hari Khamis lepas, saya ada order pizza hut melalui foodpanda. Dah banyak kali order sebelum ni, tapi takdelah selalu.


Pizza saiz large, chicken pepperoni, stuffed crust. Belah kiri dalam bungkusan tu, cheesy pops nama dia.


Dalam bungkusan aluminium tu, garlic bread. Yang comei tu, molten lava cake. Bungkusan belah kanan, kelihatan hanya separuh tu, cheesy pops lagi. Order 2 cheesy pops.


Saya tak tahu pizza apa di atas. Sepatutnya, saya order Super Supreme, saiz large, stuffed crust. Nak kata hawaiian pizza, mungkin ye. Kami dah biasa makan super supreme tu. Jadi, pertama kali dapat order pizza lain, dapat pizza lain. Sebelum ni, pernah terjadi ada makanan tak cukup, tapi itu McD, pesan melalui foodpanda juga. Tapi ni, pertama kali terjadi dengan pizza hut.

Saya pun komplen dekat foodpanda. Live chat tu. Lepas komplen apa terjadi, berserta gambar pizza yang diterima, dapat jawapan berikut dari foodpanda.


Harga pizza large super supreme tu, adalah RM48.90

Foodpanda refund RM49. 😊 Pizza salah yang kami makan tu, percuma la kiranya. Kalau tengok gambar pizza salah kat atas, pizza pun ada hitam hitam, macam hangus sikit. Mungkin tukang masak baru ke, tak tahulah. 

Tapi kami makan sajalah. Rezeki hari tu, dapat pizza lain, makan je la.

Tak lama lepas makan, saya check semula app foodpanda, refund saya dah masuk.


Efficient, kan? Alhamdulillah. Kita pun tak minta benda ni berlaku. Dah tentu kita nak makanan yang kita order, sampai dengan selamat dan betul. Tapi bila sesuatu macam ni berlaku, saya sebagai pengguna, kena fail report, sebab duit tu, wei. Bukan selalu order, tapi bila order, cecah seratus juga, makan 5 beranak. 

Foodpanda juga bagitau yang dia akan inform pizza hut tentang salah hantar pizza ni. 

Musim PKP ni, semua orang dok order food delivery je kot. Sampai restoran pun dah naik pening, time peak hours. Apa pun, thumbs up kepada foodpanda atas tindakan yang cepat. Saya tak tunggu lama pun. 

Itulah ceritanya hari Khamis lepas. Stuffed crust pizza tu sedap! Molten lava cake pun sedap! 😋

Saya perhatikan, barang di tesco pun kita dah bole beli melalui foodpanda. Wow... senang kot kita malas keluar. 

Baiklah, jumpa lagi, ye. 😊

Wednesday, 27 January 2021

Rabu yang mendung

 Ni la masalahnya bila hari mendung. Mata ni asyik nak tidor je. Katil tu memanggil-manggil je. Haha... tolong...

Baiklah. Bangun pagi, gosok gigi, cuci muka, masuk dapur, itulah kerjanya. (sila nyanyi macam budak-budak tadika nyanyi tu, tau). 😁

Hidangan pertama saya sediakan hari ini adalah chicken fingers. Goreng je frozen punya. Mudah dan cepat, sementara menyiapkan hidangan keduanya. 


Spicy chicken fingers, yang hilang dalam masa kurang sejam. Dalam gambar di atas, nampak macam goreng pisang pun ada, yek. 

Hidangan kedua yang saya sediakan adalah scrambled egg atau telor hancur.


Enak dimakan begitu saja, atau sandwich bersama roti. Roti biasa atau bakor. Jangan lupa sediakan secawan kopi panas. Aummm....

Hidangan ketiga dan final dish kita adalah cokodok!


Pisang yang suami beli di Tesco, 2 hari lepas, sudah lembik. Kulit masih hijau, tapi isi dalam dah masak ranum. Anak-anak kalu pisang masak lembik camtu, haram dia nak makan begitu saja. Jadi, saya cokodokkan. Haaa.... orait.

Sebenarnya, saya sudah keluarkan ayam dari dalam freezer. Tapi suami cakap, toksah masak hari ni. Apa? 

Tak payah masak?

Yippiee....! Saya suka! Saya suka! 

Abang Long pula pergi sekolah, bukannya nak bawa bekal makanan. Dia bawa air je. Tapi hari-hari balik sekolah, pukul 2 petang. Lewat. Dia kata, takpe, balik rumah baru makan.

Suami ada urusan hari ni, jumpa wakil public mutual dia. Ok. Jadi, dia ajak saya beli makanan sekali, untuk makan tengahari dan malam. Eh, sebelum tu. Lupa saya nak cerita. 

Seperti biasa, lepas Abang Long ke sekolah pagi tadi, saya pun jogging dalam rumah.


Pagi tadi, saya telah jogging sejauh 7 kilometer.

Masa jogging adalah selama 1 jam 22 minit.

Jumlah kalori terbakor adalah 325.  

Pace tu, korang buat-buat tak nampak, sudah la ye. Saya pelari siput. Lagi pun, dalam rumah, tak boleh lari laju-laju, nanti terlanggar barang. Ye, saya memang gunakan setting treadmill pada jam lari saya, sebab lari dalam rumah, tak boleh detect GPS ye. Walaupun saya cuma lari keliling meja makan dan masuk bilik. Jika anda ada beli jam lari GPS, tak kira apa jenama, anda harus gunakan setting treadmill run jika berlari indoor ye. 

Hasil dari jogging hari ini telah melayakkan saya dapat badge berikut dari aplikasi Garmin Connect.


Jumlah langkah saya di bulan Januari 2021 telah pun melebihi angka 300 ribu. Alhamdulillah, atas nikmat sihat. 

Lepas jogging, saya ber-jump rope pulak.


Saya skipping selama 25 minit pagi tadi.

Jumlah kalori terbakor adalah 66.

Tengok lah average heart rate saya, 88 je. Sungguh rileks beriadah di dalam rumah. 

Selesai beriadah, mandi, masa untuk makan. Suami saya telah beli nasi kerabu masa dia hantar Abang Long sekolah pagi tadi. Hari ni, suami saya off, tak kerja. 

Gambar nasi kerabu tiada. Lupa ambik. Portion nasi kerabu sangat banyak! Huuu... lepas ni, tak makan nasi setahun pun takpe. (yelah tu, kan... boleh percaya ke? 😄)

Lagi 2 orang anak seperti biasa, PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di rumah). Pak Su telah menunjukkan hasil kerja dia, bila dah selesai subjek Pendidikan Seni. Pak Su baru masuk form 1.


Apokah namanya ni... tak tahulah mama. Kipidap, my son! Belajar rajin-rajin ye! 

Abang Ngah dia masa form 1, takde subjek Pendidikan Seni. Dia belajar muzik. Saya pun tak tahu camana cara sekolah dia tentukan. Dia kata, random je. Ok.

Lepas sarapan nasi kerabu. Temankan suami ada urusan di luar. Beli roti sikit, dan saya pergi ke Baker's Cottage. Pertama kali pergi ni. Cawangan dia di Sitiawan, baru saja dibuka. Ni hasil pengaruh teman blogger kita, Azhafizah ye, yang telah menge-share gambar ayam roasted yang menyelerakan di blog beliau. 😁

Sekor ayam panggang, harga RM11.20. Saya beli 2! Perasa black pepper dan barbecue. Saya rasa, murah la. Sebab saya tengok ayam golek yang dijual di tepi jalan tu, harga RM22 seekor. Jadi, kita try je la.


Oh, mak. Boleh tahan ayam dia. Pak Su cakap sedap. Saya belum makan lagi. Masih kenyang dari makan nasi kerabu pagi tadi. Selain ayam panggang ni, saya ada juga beli muffin coklat, 2 biji. 😋 Terliur tengok, besar saiz muffin dia. 

Ok lah yek. Itu saja cerita hari ni.

Jumpa lagi, ye. 😊

Tuesday, 26 January 2021

Masak dan lari

 Pagi tadi, bangun awal seperti biasa, untuk sediakan sarapan. Saya ada goreng hashbrown, jejari ayam dan kentang goreng untuk breakfast anak-anak. Juga, saya buat nasi goreng ikan masin dan goreng karipap frozen.


Ikan masin semalam, ada baki seketul. Saya tumbuk dengan bawang merah, bawang putih dan cili api. Saya ada campak beberapa ketul ayam masak kurma semalam. 

Saya tak rasa lagi nasi goreng ni. Saya sudah sarapan pisang 2 biji, dan 2 biji karipap. Nanti tunggu suami balik kerja tengahari nanti, saya makan dengan dia. Pak Su sorang dah makan nasi goreng ikan masin ni. Dia kata sedap. 

Pagi tadi, lepas hantar Abang Long ke sekolah, saya lari dalam rumah. 


Hari ni, saya lari sejauh 6.01 kilometer. 

Lepas lari, saya buat yoga.


Lega dan segar rasanya.

Tadi Abang Ngah minta tolong salotape helaian muka surat buku teks dia yang terlerai. Petang nanti, kena pulangkan buku teks tingkatan 2, dan ambil buku teks tingkatan 3. Masalah dengan Abang Ngah ni, dia suka buat benda last minute. Lepas tu, start la kalut. Terpaksa kita tolong. Walaupun dah besar panjang. Lain anak, lain perangai dia. 

Kan bila kita tengok tv channel malaysia ni, ada tajuk berita penting berjalan kat bahagian bawah skrin tv tu, kan. Semalam saya ada baca di tv, yang ada 17 orang yang tengah jogging, kena kompaun di Hutan Rekreasi Sungai Udang, Melaka. Memang tak boleh jogging di kawasan rekreasi. Hanya boleh jogging di kawasan kejiranan sahaja, itu pun tak lebih 2 orang. Sebenarnya, ada lebih orang di situ, tapi yang lain sempat lari. Tu mesti tak baca SOP tu. Atau mungkin tahu, tapi sudah bosan jogging dalam rumah. Tapi kesian juga, kan. Satu orang, RM1,000. Banyak tu. Kalau shopping bawa duit seribu, banyak benda kita boleh beli, kan. Adoi...

Memanglah cepat bosan jogging dalam rumah. Dengarlah lagu kat spotify. Kalau ada treadmill, boleh buat mengadap tv kot. Kena kreatif di musim PKP ni. 

Apa plan anda hari ni? Harap semua urusan anda dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye. 😊

Monday, 25 January 2021

Larian Isnin dan masak simple

 Hari ni, seperti biasa, bangun sebelum subuh, saya masak sarapan, merangkap makanan untuk satu hari iaitu tengahari dan malam. Nasi pun saya dah siapkan dengan lauk simple. 

Lepas saya hantar Abang Long ke sekolah, saya pun berlari dalam rumah.


Hari ni, sempat berlari sejauh 5.2 kilometer, dengan masa 1 jam 5 minit.

Lepas lari, saya skipping selama 23 minit. 

Suami saya balik kerja masa saya tengah berlari dalam rumah. Dia kerja shif malam, balik pagi. Lepas saya skipping, nak mandi, terkejut dia tengok saya. Berpeluh-peluh macam orang mandi. Memang kalau skipping, peluh lenjun giler!

Suami tunggu saya lepas mandi, baru sarapan sama-sama. Dia pun intermittent fasting juga. 2-3 hari lepas, dia ada appoinment doktor, doktor cakap bagus, sebab berat badan dia turun 3 kilo. 


Makan nasi dengan lauk simple saja. Kurma ayam dalam tin Adabi. Kacang bendi dicelur. Sambal nasi ayam hari sabtu, tinggal cinonet. Budu dengan bawang dan cili api.


Ayam dari nasi ayam, tinggal 2-3 ketul. Goreng ikan masin.


Telor dadar dengan bawang dan cili api.


Kentang goreng yang saya goreng untuk breakfast anak, tak habis lagi. Secawan anlene cafe latte.

Alhamdulillah. 

Kepada yang bekerja, selamat bekerja ya!

Jumpa lagi. 😊

Ahad - Lari dan makan

 Hari Ahad, setelah lama saya tak berlari, saya start lari semula, dalam rumah.


Saya lari sejauh 5.31 kilometer, dalam masa lebih kurang 1 jam.
Lepas lari, saya buat yoga sekejap, selama 12 minit.

Segar rasanya, dapat beriadah dan keluarkan peluh.

Lepas mandi, barulah saya makan. Saya masih ber-intermittent fasting (IF). Tapi saya uninstall app IF tu. Dah ada general idea, pukul berapa boleh makan, jadi boleh buat tanpa app.

First meal agak lewat juga, dalam pukul 11.30 pagi di pagi Ahad.


Saya sarapan pulut kuning dengan rendang ayam. Suami belikan pagi-pagi. Saya suka pulut kuning. 😋

Seronok duduk rumah, rileks-rileks, layan tv. Saya ada tengok satu rancangan realiti korea ni, Restaurant on Wheels: USA. Dia buka food truck di satu taman tema di US. Menarik saya tengok. Telan air liur tengok orang putih makan jjajangmyeon (mee kacang hitam. Betul ke? Kalau salah, tolong betulkan saya tau), sweet and spicy friend chicken, dan hotdog. 


Kita boleh nampak cara dia masak tu. Cara dia buat hotdog, macam corndog yang ada jual kat tepi jalan tu. Kalau dapat rasa sikit mee dia tu, bestnya. Tapi saya memang tak tahu mana nak dapat jjajangmyeon kat kawasan saya ni, di musim PKP, mana boleh keluar lebih 10km radius. Tengok omputih dok makan slurp slurp tak putus-putus customer dia, sampai dia kena stop ambil order, sebab order banyak sangat untuk disiapkan. 
Tapi dalam pukul 3 petang macam tu, saya ajak suami keluar. Harap dia buka la hari Ahad. Tengok-tengok ada! Orang jual corndog. Yay! Saya beli 5, untuk kami 5 beranak kat rumah. Tapau la. Satu corndog harga RM5. 


 Sos cili dia manis. Kalau dia tak letak pun takpe, atau gantikan dengan sos cheese tu.  


Macam ni la bila kita gigit. Separuh dari corndog tu, bahagian dalamnya adalah cheese. Manakala separuh lagi adalah sosej. Meletup, kau! 😋 Tahu tak, ini adalah pertama kali saya makan corndog. Pengaruh cerita korea. Hehe...

Itu je la nak cerita. Saya suka, saya suka! Suka sebab dah boleh tengok cerita korea. Sebelum ni, ntah apa masalah dekoder tv kat rumah tu ntah, tak keluar subtitles. Sekarang dah ok. Boleh faham dah. Yay! Mari kita layan citer Korea! 😁

Jumpa lagi ye.

Sabtu - Masak nasi ayam

 Hari Sabtu lepas, saya tak riadah pun. Kerja menebas dan bercucuk tanam pun dah siap. Jadi, saya cuma rileks saja, dan saya membaca. 

Baca majalah Rasa yang lama-lama. Resepi yang dulu kita tak minat kan, boleh jadi kita minat nak buat tahun ni. Jadi, saya bookmark dengan stick-on-sticker tu, dan saya labelkan supaya senang nak cari.

Kadang-kadang, kita kena stop segala apa yang kita buat. Buat plan baru. Tulis apa yang kita belum buat. Supaya kita boleh dapat semangat baru. Tahu di mana kita berada, dan apa langkah seterusnya. 

Seronok betul saya baca majalah hari Sabtu lepas. Memang, saya lebih suka hidup offline. Nak tahu tak, saya dah seminggu tak baca newsfeed dari instagram mahu pun facebook? Hehe... terasa aman damainya hidup saya. 

Tapi ada satu benda yang saya tak mahu nak tahu, tapi saya kena ambil tahu juga, iaitu kes-kes terbaru covid. Jadi, saya still ada telegram di handphone saya. Saya dah try uninstall hari tu, tahan 3 hari je. Sebab saya rasa penting untuk saya tahu lokasi tempat yang saya nak pergi. Sebenarnya, boleh je tahu, dari aplikasi mySejahtera, tapi saya cuma nak tahu perincian kes. 

Berbalik kepada hari Sabtu lepas, suami saya masak nasi ayam. Saya tolong sikit-sikit je. 


Nasi, saya masak. Masak nasi bersama air rebusan ayam bersama halia, serai dan daun pandan.


Ayam, suami yang rebus dan goreng. Dia perap dengan kicap, tu jadi hitam tu. Tapi sedap. 😋


Sambal nasi ayam, saya buat. Tak pedas pun. Guna cili merah dan campur cili api 3 biji je. 

Itu la dia, hidangan tengahari dan malam hari Sabtu, nasi ayam sempoi. Hehe...

Jumpa lagi ye. 😊

Friday, 22 January 2021

Selesai menebas

 Hai semua...! 😊 Salam Jumaat. 

Pagi tadi, saya sambung kerja menebas rumput di halaman rumah.


Gambar burung merpati tengah makan nasi. Kadang ada lebihan nasi semalam, yang kuantiti sikit, nak buat nasi goreng pun macam tak cukup, saya akan letak nasi atas rumput, sedekah burung makan. Bukan merpati je, burung pipit ada datang, burung malar kerbau, burung gagak, kadang beruk pun singgah juga kalau dia lalu kat tiang letrik depan rumah.


Kalau takde nasi, kadang saya campak roti yang dah dipotong kecil-kecil. 

Seronok tengok gelagat burung makan. Saya duduk tak jauh pun dari situ. Sambil menebas, ditemani budak bulu, si Puteh.


Sedap betul dia melelapkan mata, atas meja batu yang sejuk tu. 

Tengah buat kerja, hujan pun turun. Tak macam semalam, hujan sikit dan kecil. Tapi dah makin lebat, jadi saya pun berhenti menebas.


Kalau tengok gambar di atas, dah tinggal tak banyak kawasan pun untuk disabit. Duduk sat kat garaj, tengok hujan, tengok ikan.


Saya ada bela 2 ekor ikan puyu, dan 2 ikan bandaraya. Ikan bandaraya tu, dah sama besar dengan ikan puyu dah. Dulu masa beli, besar separuh jari kelingking je keduanya. Tak pakai pam oksigen pun. Ikan lasak. Dulu musykil juga, gaduh tak kalau letak ikan puyu dan ikan bandaraya dalam satu tempat. Ok, dia orang. Lagipun ikan bandaraya tu, tak kacau ikan puyu. Dia buat hal sendiri, sembunyi dalam tong pecah tu ke, atau bawah jambatan.


Mengekor je budak bulu ni. Sambung tidor kat garaj pulak.

Tak lama lepas tu, hujan pun berhenti. Saya sambung menebas, sampai siap. Alhamdulillah. Settle juga kerja saya. 


Sudah 4 hari saya tak cukup steps sampai 10 ribu sehari, sebab tak berlari. Menebas punya pasal. Takpe, rehat sekali-sekala, dan workout tangan saja. Hehe. Kalau rajin, esok boleh la jogging semula. Dalam rumah je kot. Walaupun SOP PKP membenarkan jogging 2 orang, di kawasan kejiranan, dalam lingkungan 10km radius. Saya baca kat telegram MKN.

Ok ler. Jumpa lagi, ye.😊 

Thursday, 21 January 2021

I feel good

 3 hari tidak berlari.

Sambung kerja menebas rumput. Hari ni sebab cuaca baik, tak panas, saya buat kerja sampai pukul 11 pagi. Hujan sekejap-sekejap, tapi hujan sikit saja. Takpe la, main hujan sekali-sekala. Banyak dah kawasan dah clear. Saya rasa, tinggal dalam 20% je lagi untuk siap misi potong rumput di rumah. Yay! 😁 Saya cantas pokok bunga kertas, saya trim dahan yang panjang-panjang. Saya cantas pokok buluh yang ada di luar pagar, tapi batang dia dah masuk ke dalam pagar. Pokok buluh tu macam pendinding. Sebab pagar jenis batu dan tidak rapat. Bila ada pokok buluh di kawasan pagar, jadi anjing liar tak boleh masuk rumah. Rumput-rumput dalam longkang saya dah cabut. Ada rumput dalam longkang, sebab ada tanah. Jadi, saya korek tanah dalam longkang, dan campak kat pokok durian belanda. Pokok lengkuas, dan serai, saya buang daun . Pokok sayur yang dah tua, kacang panjang, dengan batang buluh yang menyokong pokok sayur yang menjalar, semua saya dah buang. Clear kawasan.

Bila siap kerja, saya masuk rumah. Saya tengok Abang Ngah, tengah atas lantai, mengadap buku sekolah. Masa nak ke bilik air, saya lalu depan bilik Pak Su, tengah buka computer, depan ada buku sekolah juga. Tengah buat kerja online. Alhamdulillah. Anak-anak buat kerja. Sukanya hati saya. 😊

Komputer Pak Su tu, baru repair minggu lepas. Sebelum ni, dia share dengan Abang Ngah. Sekarang, sorang anak ada 1 komputer. Saja, nak memudahkan dia orang buat kerja sekolah. Kalau share, kena bergilir pulak. Komputer dia paling lama, subsidi dari makciknya yang dok KL. Baru format semula, dan dah serupa komputer baru balik. Harap dapat bertahan, asalkan dia tak install macam-macam.

Lepas mandi, saya pun makan.


Saya makan kueh akok. Suami saya belikan sebelum dia pergi kerja pagi tadi. 5 biji akok, RM3. Boleh tahan sedap. 😋

Hari ni tak masak. Perangat lauk semalam. Pukul 12.50, saya keluar pergi ambil Abang Long di sekolah. 

Esok start pkp. Semoga kes covid bertambah turun. Semalam, Perak punya kes baru positif sangat tinggi, sampai 170. Kawasan Manjung saja dah ada 17 kes baru. Semoga anak-anak yang kena pergi sekolah dan cikgu-cikgu semua dilindungi dari penyakit ni. 

Jumpa lagi, ye. 

Wednesday, 20 January 2021

Masak apa hari ni

 Dah 2 hari saya tak lari atau jump rope atau yoga.

Anak sulung start sekolah hari ni. Saya bangun pukul 4 lebih, sediakan sarapan. Dalam pukul 7 pagi, suami hantar anak ke sekolah. Dia kata, sekolah aman damai. Tak sesak. Sebab budak tingkatan 5 saja yang pergi sekolah. Itu pun, macam tak ramai.

Lepas suami pergi kerja, saya sambung kerja-kerja menebas rumput. Hari ni, saya cantas dahan pokok di pagar. Sebab dah tinggi dan besar, saya kena guna gergaji. Workout untuk tangan. 

Tak siap lagi halaman rumah saya. Huwaaa... hari ni menyabit rumput sambil termenung. Memikirkan nanti PKP start lusa. Nape dia tak cakap dari hari tu je? Kepelikan dibuatnya. 

Saya ada jumpa banyak ulat. Ulat bersembunyi di balik rumput, di balik daun. Bila tebas, tiba-tiba cicak hitam keluar. Nasib baik saya pakai seluar, kalau pakai kain? 

Elok pakai kasut but ler. Tapi saya cuma pakai selipar. Berapa banyak siput babi saya terpijak. Kalau terjumpa siput babi yang masih hidup, saya baling rumah sebelah. Rumah sebelah tu, takde orang duduk. Untuk dijual atau disewa. Kang kalu biar, dia makan tanaman saya pulak. Ssyyy, jangan bagitau tuan rumah sebelah tau.

Pukul 10 pagi, baru saya masuk rumah. Sebab hujan. Kalau tak hujan, saya plan menebas sampai pukul 11. Tapi dah hujan. Saya masuk dalam, mandi, makan cereal, dan masak.


Sambal telor je hari ni. Extra pedas. 

Lagi 2 orang budak yang kelas online di rumah ni, rileks je nampaknya. Bila tanya, abang Ngah cakap, "tunggu cikgu". Pak Su pulak cakap, "nanti saya buat". 

Suami ajak pi beli barang petang ni. Saya rasa, baru je hari tu kami beli barang dapur. Dia kata, kalau tak beli hari ni, nanti dia sorang je yang kena beli. Ler, pulak. Dia nak settle barang dapur dulu. Harap ada barang lagi kat supermarket. Sebab dengor cerita, semua orang pakat panic buying semalam bila dia announce PKP. Baiklah, saya ikut je.

Korang buat apa tu? Apa cerita?

Jumpa lagi, ye. 😊

Tuesday, 19 January 2021

Menebas lagi dan update IF

 Badan saya hari ni sakit-sakit. Ni sebab menebas la ni, semalam. Saya rasa macam buat strength training pulak. Apa itu strength training?

Strength training adalah latihan guna berat badan sendiri, atau pemberat, seperti dumbell, kettlebell atau resistance band, atau alat-alat dekat gym tu, untuk bina muscle mass atau otot, strength atau kekuatan dan endurance, atau ketahanan. 

Biasanya, bila kita buat strength training, badan akan rasa sakit keesokan harinya. Kenapa? Bila otot tu buat kerja lebih dari biasa, dia memang akan rasa sakit. Ini adalah normal. Tu sebab bagi seorang pelari, kalau dia ada event lari, adalah tidak digalakkan dia buat strength training seminggu sebelum event. Ini supaya badan boleh perform waktu event. 

Hari ni saya sambung menebas lagi. Tak habis lagi. Pelan-pelan. Saya menyabit sambil duduk atas stool kecik. Lepas tu, rumput yang dipotong, saya sapu guna rake.

Credit photo https://pixabay.com/vectors/garden-gardening-rake-tool-1300347/


Saya angkat rumput yang dipotong guna pungkis.

Credit photo Wak http://warisanpetani.blogspot.com/2015/11/alatan-perkebunan.html

Kemudian, saya kumpulkan rumput di tempat pembakaran. Tapi saya tak bakar pun. Saya tunggu rumput jadi kering, saya sumbat dalam plastik sampah hitam. Saya kumpulkan depan rumah. Seminggu sekali, ada kontraktor sampah hasil pokok dan rumput akan datang, kutip. Seminggu sekali ke, kadang 2 minggu kot. Kadang tak perasan bila dia mai kutip, tiba-tiba hilang je.


Hasil menebas hari ni. Cantik tak? Tiada lagi semak-samun dan rumput panjang. Hujung sana tu belum siap. Sambung esok. 
Workout habis tangan saya. Suami saya cakap, tangan saya tangan mesin. Rumput nampak macam dipotong guna mesin. Tiada lagi pokok cili tua yang disusun di tepi tembok dinding. Semua saya dah buang, sebab banyak kutu putih bawah daun pokok cili tu. 


Ini adalah tempat pembakaran. Habis dahan pokok ceri pun saya potong, yang rendah-rendah. Tu, ada semak lagi, dan beberapa kawasan lain lagi, yang saya akan sambung esok. Menggunung rumput. Saya buat suka hati, bila kawasan tu dah naik matahari, saya pindah pi tempat lain. Hehe.. walaupun pakai topi kebun, tapi panas la encik! Eh, hari ni tak sepanas semalam. Dan saya masuk rumah lebih awal, sebab saya kena masuk makan, dan masak. 

Sebelum makan, saya timbang berat dulu.

Saya start buat intermittent fasting (IF) pada 13 Januari. Hari ni, genap 6 hari saya IF. Meh kita tengok... tadaaaa


Berat saya hari ni adalah 56 kg!!! Turun 2 kilo!



Yay! Walaupun saya pilih plan 16-8, iaitu 16 jam puasa dan 8 jam makan. Tapi selalunya, saya terbabas sampai 17 jam, 18 jam puasa. Sebab saya riadah, atau menebas. Macam semalam, pukul 12 tengahari baru saya masuk rumah. Jadi, first meal of the day dah jadi lunch dah. Bukan breakfast lagi. Tapi saya belajar minum air masak lebih banyak. Sebelum ni, saya banyak minum air manis seperti nescafe dan kopi. 

Lepas mandi dan makan, saya goreng nasi untuk lunch anak-anak. Lepas zohor, saya ke hospital, ambil ubat.


Rutin biasa saya, tiap-tiap bulan ambil ubat tiroid. 

Jadi, saya mengambil keputusan untuk cuti lari sekejap, sebab saya nak menghabiskan kerja menebas rumput. Badan sakit, minta rehat.


Oleh itu, goal streak saya, iaitu 10 ribu langkah sehari, berakhir di hari ke 36. Titik. Hari ni tak lari. Esok pun tak kot. Lepas habis menebas, baru saya akan lari balik. Takpe, benda ni, bila-bila boleh sambung buat semula. 
Cuma saya ada idea nak bersihkan kawasan rumah macamana. Sudah bulat. Dalam kepala. Hehe. Nasib baik kawasan rumah saya takde la besar mana. Besar lagi kebun Wak Warisan Tani tu. Hehe... peh, respek saya, orang buat kerja kebun ni perlu tenaga yang banyak. Ingat senang, nak jaga tanah berekar-ekar? Saya punya kawasan yang tak berapa nak besor ni pun dah lenguh tangan, badan segala. Tapi takpe. Berusaha!

Jumpa lagi, ye. 😊