Friday, 30 April 2021

Laporan April dan Mac

 18 Ramadhan 1442 Hijrah

Hari-hari lari. Lari hari-hari. Hehe... Meh kita tengok hasil larian pagi tadi.


Sempat berlari sejauh 9.37 km, dengan kawan lari saya, Ezan. Alhamdulillah. 

Disebabkan bulan lepas, saya masih bertapa dalam gua dan tidak online, jadi saya update kat blog saya ni, laporan larian bulan lepas sekali. Untuk rekod diri sendiri.

Pada bulan lepas, berikut laporannya:


Mac 2021

Purata larian sehari: 9.7 km

Jumlah jarak lari bulan Mac: 301 km (First time ni wei, saya cecah angka 300 km dalam sebulan. Memang bulan lepas saya kena sampuk hantu lari)

Purata larian seminggu: 75.3 km

Jumlah kalori burn: 17, 771

Bulan Mac, saya lari setiap hari. Dan saya ada buat half marathon juga, pada 20 Mac.


Mari kita tengok laporan bulan April pula.


April 2021

Purata larian sehari: 7.5 km

Jumlah jarak lari bulan April: 224.6 km

Purata larian seminggu: 56.2 km

Jumlah kalori burned: 12, 045

Bulan ni, saya tak lari setiap hari. Ada hari hujan, ada hari, rehat. Saya ada juga buat half marathon pada 1 April lepas. Ada saya cerita di post ini.

Alhamdulillah, diberi nikmat lari oleh Allah. Saya sangat bersyukur. Berlari untuk sihat dan happy. 😁

Hari ni saya tak buat kueh raya. Nanti, nak kena belek buku resepi dulu. Semalam saya buat semprit dapat 3 1/2 balang kan? Dah tinggal 3 balang dah. Huuu.... harap dapat bertahan sampai raya. 

Baiklah. Jumpa lagi ye. 😊    

Thursday, 29 April 2021

Semprit

 17 Ramadhan 1442 Hijrah.

Salam Nuzul Quran kepada semua pembaca yang saya hormati sekalian.

Pagi tadi, seperti biasa, saya keluar jogging.

Dari kiri: Saya, Amy, Zura dan Ezan

Sempat berlarian sejauh 7.72 km pagi tadi. Alhamdulillah. Puasa bukanlah penghalang untuk kita beriadah keluar peluh. Buat mana yang kita mampu. Gambar saya bersama kawan-kawan lari. 😊

Semalam saya ada beli barang buat kueh, jadi marilah kita buat kueh raya hari ni.


Saban tahun, kueh raya pertama saya selalu buat adalah semprit. Gambar adalah beberapa acuan semprit. Diwarisi dari arwah mak saya.


Suami tolong buat semprit. Semprit ke, semperit, ejaannya? Ntah lah.. Buat makan family kita je. Ada yang besor, ada yang kecik. Lain tangan buat, lain kejadian bunganya.


Bakar pada suhu 180 darjah celcius. Semprit ni, cepat masak. Teksture dia, melt in your mouth, gitew... Kena selalu check oven. Kalau leka, sat je semprit kita jadi hitam.


Ok ler tu. Rupa boleh dikatakan comei. Rasa tak tau lagi. Nanti berbuka bole test.


Dapat lebih kurang 3 1/2 balang semprit, hasil membaking hari ni. Yay! Alhamdulillah...

Bersama ni, saya sertakan sekali resepi kueh semprit, turun temurun dari buku resepi arwah mak saya, kot ada pembaca yang nak cuba buat.

Semprit

Bahan-bahan:

1 cawan tepung gandum

2 cawan tepung jagung

3 biji kuning telor (kuning saja ye, putih telor, simpan peti ais. Nanti sahur, buat telor dadar. Hehe)

1 cawan gula ising

1 ketul butter

Ceri merah sebagai hiasan. Potong kecik-kecik. Ikut suka hati. 


Cara membuat semprit:

1. Ayak tepung gandum bersama tepung jagung dalam satu bekas. Ketepikan.

2. Pukul dengan mixer, butter bersama gula ising. Bila sudah mesra, campurkan kuning telor, sebiji demi sebiji. Bila dah sebati, boleh keluarkan dari mixer. 

3. Masukkan tepung yang telah diayak tadi dalam campuran butter dan telor kita. Guna tangan je, gaul hingga doh kita tak lagi melekat pada tangan. Kat sini la kita kena adjust sendiri, kalau melekat, tambah la tepung gandum sikit. Kalau kering je adunan kita, tambah butter sikit. Tapi saya selalu buat, kena tambah tepung gandum sikit, baru cantik adunan tak melekat.

4. Guna acuan semprit, cubit sikit adunan doh kita, dan tekan ke dulang pembakar. Try and error. Pastikan sama tinggi. Kalau nipis, nipis la semua. Kalau buat berlayer-layer bunga, maka buatlah berlayer-layer semua, supaya bila kita bakor, takde yang hangus, sementara ada yang belum masak.

5. Letak ceri merah kat atas. Boleh lah masuk oven. Sebelum tu, panaskan dulu oven kita ye, dalam 10 minit.

6. Bila dah keluar oven, sejukkan dulu atas cooling tray, baru susun dalam balang kueh raya. Yay!

Selamat mencuba. 

Jumpa lagi ye. 😊

Wednesday, 28 April 2021

Appoinment doktor kaki

 16 Ramadhan 1442 Hijrah

Pagi ni, saya dan kawan lari, Ezan, pergi jogging di Teluk Batik pulak. Dok makan angin je kerjanya. Bukan la jogging sangat pun, sibuk ambik selfie dan gambor. Hehe..


Sempat berlarian sejauh 7.64 kilometer. Alhamdulillah. Agak lama saya tak ke Teluk Batik ni. Dah ada buaian dah, tepi laut. Ada 4 buaian. Sepasang hujung sini, dan sepasang hujung sana. Dah jadi macam pantai kat Terengganu tu pulak, kan. Tak pasti pantai apa, ramai orang ambik gambar buaian dalam laut.


Cantik tengok langit yang berawan dan bulan pun masih ada. Tenang rasanya. 

Cuma satu je, beruk masih banyak. Kita yang takut dia. Dia tak takut kat kita langsung. Kalau sekor 2 takpe jugak. Ini, segerombolan beruk. Eh, betul ke penjodoh bilangan segerombolan untuk beruk? Ntahlah. Kita lalu tepi dia, dia tak lari langsung. Huuu.... doa banyak-banyak. 

Lepas habis jogging, balik rumah. Bersiap untuk teman suami, pi hospital, ada appoinment dengan 2 doktor hari ni. Doktor kolesterol dan gula, dan doktor kaki.


Klinik kedua doktor sebelah-sebelah je, jadi senang. Ntah suami saya punya paras gula tak turun-turun. 6.3 paras gula dia. Padahal, dia dah tak minum air manis setiap hari dah. Saya pernah check gula masa saya lepas sarapan, (bukan bulan posa), gula saya 4.7. Berikut panduan ujian darah gula:

Glukos            Aras normal

Puasa                    3.5 - 5.6

Tak puasa            5.5 - 7.8

Nurse tanya, baru lepas sarapan ye? Tapi gula saya rendah. Itu pasal kadang bila saya bangun lepas duduk lama, pandangan gelap sekejap sesaat dua. Elok benor la tu, suami lebih gula, dan isteri kurang gula. 

Berita baik, bila jumpa doktor kaki, suami dah boleh bekerja bulan Mei depan. Doktor suruh light duty dulu. Untuk info pembaca yang baru baca blog saya ni, suami saya telah jalani pembedahan ACL, PCL dan MCL (ligament pada lutut) pada 2 Mac lepas. Dia tak boleh berjalan kerana kemalangan motor, apabila pulang dari kerja. Sejak tu, suami saya MC. Alhamdulillah, setelah lebih kurang 9 minggu, suami sudah boleh jalan dengan bantuan tongkat. Doktor bagi guna 1 tongkat tadi, sebab dia tengok suami saya dah laju semacam je. Dia juga test tarik lutut suami tadi. Ya Allah, seriau saya tengok. Keputusannya, kaki ok, kuat. Yay! Kalau confident, boleh buang tongkat terus. Cuba lah sikit-sikit. Suami saya tak pernah ponteng fisioterapi. Alhamdulillah. 

Sejak kemalangan suami, benyak kerja rumah saya handle sorang. Benda yang saya tak pernah buat pun, sekarang saya dah boleh buat. Saya dah boleh isi minyak kereta sendiri, pam tayar kereta sendiri, tukar mentol, mesin rumput. Hahaha... tepuk belakang diri sendiri sikit. Hikmah di sebalik musibah. Nasib baik ada lesen kereta. Allah macam nak sediakan saya untuk lebih berdikari kot, dan tak terlalu bergantung pada suami. 

Itu la cerita hari ni.

Jumpa lagi ye. 😊    

Tuesday, 27 April 2021

Cari baju raya

 15 Ramadhan 1442 Hijrah.

Pagi tadi, kawan lari saya, Ezan, ajak jogging tepi laut pulak. Tukar angin. Saya on je. Lokasi jogging pagi ni, di Esplanade Lumut.

 2 minah munge 🌼 😁

Memang sesekali, kita digalakkan untuk tukar running terrain kita. Kalau biasa atas  tarmac, cuba lari atas rumput pulak. Atau laluan pejalan kaki atau pavement. Atau atas pasir, boleh kaki ayam. Atau trail, masuk hutan. Latih kaki, cuba pelbagai kondisi tempat larian. 

Lari kat Esplanade Lumut pagi tadi, rasa letih, wei. Sebab turun naik, jalan tak rata. Hehe.. Larat sejauh 7.26 km. Alhamdulillah. Lepas lari, buat alat senaman yang disediakan di tempat riadah, seperti seat up, test balancing atas kayu, dan jalan atas batu refleksologi sekejap. Best juga. 😁

Lepas balik rumah dan mandi, saya berkejaran bersama suami dan anak bongsu, cari baju raya dia. Anak bongsu saya, semangat sikit badannya. Seluar kadet bomba dia, saya tempah kedai, sebab takde saiz. Anak bongsu saya baru form 1. Saya dah tanya dulu tokei kedai baju yang saya nak pergi pagi ni. Kedai dia, ada saiz sampai 4XL. Itu yang kami pergi tu. Anak bongsu sekolah sesi petang, jadi pagi la baru boleh bawak dia. 

Semalam check juga, anak tengah muat pakai baju raya anak sulung. Sementara anak sulung, muat pakai baju melayu anak bongsu last year. Jadi, cuma si bongsu ni yang takde baju melayu lagi. Saya bukan apa, sekolah kang ada hari, cikgu suruh pakai baju melayu. Takkan time tu baru nak cari. Anak-anak saya pulak jenis tak kisah. Dia orang boleh je tukar-tukar baju sesama dia orang. Yang sulung dan yang tengah tiada masalah sebab badan lebih kurang, keding je. Cuma yang bongsu ni, sebab badan dia comei sikit. 

Anak sape la ni? Macam anak jepun pun ada.

Muat pakai baju saiz 2XL. Bior besar sikit. Hari ni, puasa. Esok lusa raya, kot kembang balik, boleh pakai. Cuma kena alter kat tangan dan kaki sikit. Kedai ni biasanya boleh tolong jahitkan. Tapi pekerja dia kata tadi, dah penuh, tak dapat terima. Takde masalah, saya pun boleh je jahit sendiri. 

Alhamdulillah. Selamat dapat baju raya anak bongsu. Suka color dia, hijau lembut. 😊

Gitu cerita hari ni. Dah masuk 15 Ramadhan. Marilah kita pulun kutip pahala banyak-banyak. Sebelum sahur, tahajud dulu. Sikit-sikit, buat mana kita mampu. Berusaha! 

Jumpa lagi, ye. 😊

Monday, 26 April 2021

Ayam goreng berlado

 14 Ramadhan 1442 Hijrah

Minggu baru. Hari baru. Peluang untuk kita cuba lebih baik dari semalam. Berusaha!

Pagi tadi, saya pergi jogging seperti biasa.


Saya sempat jogging sejauh 10.5 km pagi tadi, bersama kawan lari, Ezan. Kilometer terakhir, kami cuma jalan je. Alhamdulillah...

Suami saya ada fisio pagi tadi. Dia pergi sendiri. 

Masa saya sampai rumah dari tempat jogging, suami baru nak keluar. Kalau saya ikut, memang lambat kang. Balik lari, kena mandi. Kalau tak mandi, boleh sakit kepala. Hari ni appoinment dia awal sikit. Kalau pukul 9.30 pagi, saya boleh ikut, macam hari tu. Suami pun paham. Huu... 😊

Saya siap masak awal hari ni. Dapur saya panas waktu petang, jadi saya suka siapkan awal-awal lauk. 


Saya masak ayam goreng berlado. Hehe.. harap tak pedas sangat. Kang berasap suami dan anak-anak kang. 😁 Tapi saya cuma guna cili besor merah tu je. Tumbuk-tumbuk, sebab nak teksture cili tu kasar. Tumbuk pun, habis lidas juga tangan, kena basuh guna sabun baru hilang. Sayur pula, cadang nak rebus bendi je petang kang, dekat waktu berbuka. Hari ni, cuti oat. Hari-hari berbuka dengan oat, bosan juga.

Korang masak apa? Hehe..

Baiklah, jumpa lagi ye. 😊        

Edit entry pada 27 April 2021, saya sertakan resepi Ayam goreng berlada ni ye, pada sesiapa yang nak mencuba. 

Resepi: Ayam Goreng Berlada

Bahan-bahan: 

1 ekor ayam, potong kecil-kecil (Goreng begitu saja, hingga masak. Tak perlu perap kunyit)

8 biji cili merah (ditumbuk)

1 biji bawang holland (potong dadu)

4 ulas bawang putih (cincang)

3 cm halia (hiris panjang halus)

2 batang serai (hiris halus)

Garam dan gula secukup rasa


Cara memasak:

1. Panaskan minyak. Tumiskan bawang putih, bawang holland, serai dan halia hingga wangi.

2. Masukkan cili yang telah ditumbuk. Kacau rata sampai naik minyak.

3. Masukkan ayam yang  telah digoreng. Kacau rata.

4. Perasakan dengan garam dan gula.

5. Kecilkan api, kacau hingga cukup masak.

6. Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba. 😊

Sunday, 25 April 2021

Giveaway Buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka

 Saya ingin turut serta dalam giveaway  ni.

Marilah kita menyokong giveaway oleh rakan blogger kita ni.

Untuk join, sila klik banner di atas ye.

Saya nak tag NA untuk sertai sekali. Kalau free, silalah ye. 😊

Larian Ahad dan Half Marathon April

 13 Ramadhan 1442 Hijrah

Pagi tadi, saya keluar awal. Boleh lari lebih sikit hari ni. 


Saya sempat jogging sejauh 10.18 km pagi tadi. Alhamdulillah.

Gambar adalah masa saya lepak petang-petang kat buaian rumah. Budak Oyen ni suka naik atas buaian tu, nak manja. Suruh kita layan dia la, tepuk-tepuk dia. Ngada kan, tengok muka dia tu. Hehe... Oyen ni, baru beranak dalam 2-3 bulan lepas. Tapi kesemua anaknya mati, 2 ekor. First time mother, dia tak tau jaga anak lagi. Tapi saya tengok, dia boleh bagi susu kat anak sedara dia, iaitu adik dia punya anak. Baik dia. Tak berkira pun. Si Ros (adik Oyen) tak layan anak dia sangat. Oyen ni la yang jaga. Sayang dia kat anak sedara dia.

Saya nak cerita pasal larian half marathon saya, yang saya buat semasa 1 April lepas. Masa tu, belum masuk ramadhan. Saya dah siapkan homework lari saya awal-awal, supaya boleh puasa dengan tenang. Saya memang tak mampu nak buat half marathon (21 km) di bulan puasa. Kalau buat, kena lari malam. Malam tak elok keluar, orang perempuan. Jadi, saya pun buat la semasa awal bulan hari tu. 


Saya berjaya habiskan 21 km dalam masa 3 jam, 7 minit. Alhamdulillah. Lari solo. Mula-mula kawan-kawan ada. Tapi bila dia orang balik, saya sambung lari sorang. Kepuasan yang tak terhingga bila dapat habiskan. Syukur Allah bagi nikmat lari dan sihat. Sebab takde geng lari yang sanggup menemani je, kalau ada, mau saya buat full marathon (42 km). Rindu rasanya, nak lari dalam event. Semoga covid berlalu cepat-cepat.

Ok la. Selamat berhujung minggu, semua. 😊

Saturday, 24 April 2021

Selamat hari Sabtu ^_^

12 Ramadhan 1442 Hijrah.

Hujan juga awal pagi tadi, waktu sahur. Alhamdulillah. Sejuk suasana. Masa saya jogging pun rasa sejuk. 


 Pagi tadi, saya sempat jogging sejauh 9.59 km, bersama sahabat lari, Ezan. Alhamdulillah. Santai-santai, pace 10.

Kalau slowjogging, memang kita boleh buat setiap hari. Tapi kalau lari laju, bagi sayalah, memang kena rehat, di bulan puasa ni. Saya pernah terlaju, sampai pace 6, esoknya, sakit kaki. Kena rehat. Slowjogging juga yang best. Heart rate pun dalam zone 2 atau 3. Badan rasa ringan dan mood pun happy. 😊

Semalam, saya buka posa dengan keepci. Meh kita tengok...


Saya order 15 ketul ayam, jadi memang tahan sampai sahur. Colonel rice satu, sebab anak bongsu memang kena ada nasi untuk berbuka. Ada cereal cheezy fries, sekotak. Rasa dia macam kari. Boleh tahan sedap. Selain tu, saya oder 2 ketul ayam zesty crunch combo. Combo, jadi ada regular coleslaw dan whipped potato tu. Turut kelihatan dalam gambar, saya singgah bakeri, beli tart telur, roti sosej dan mexican bun coklat. Alhamdulillah.

Tu makanan semalam. Hari ni, saya goreng nasi untuk berbuka. Gambar takde, telefon tengah caj. Untuk saya, saya buat overnight oat.

Satu untuk berbuka, satu untuk sahur

Hari ni, dapat istirehat lama. Lepas jogging, balik rumah dan mandi. Rasa ngantuk. Dari pukul 10 pagi sampai 1 tengahari saya tertidor. Tidor tak sedar diri. Macam tidor waktu malam. Saya jarang tidor siang. Tapi sesekali layan mata, hambik... Memang di bulan puasa ni, kita cuma tidor lebih kurang 5 jam sehari saja, kan. Bagi saya, lah. Hari sabtu atau ahad baru dapat cover tidor semula.
Ok lah. Selamat beristirehat di hujung minggu, semua.
Jumpa lagi, ye. 😊

Friday, 23 April 2021

Resepi Muffin Pisang Sedap

 Saya dah beberapa kali buat muffin pisang. Bila pisang yang kita beli dah mulai hitam, kadang saya buat cokodok. Kadang, saya buat muffin. Biasanya, saya pakai pisang lestari. Untuk resepi ni, saya pakai pisang emas. Memang sedap. Suami puji, lain rasa banding muffin yang saya pernah buat selama ni. Jadi di sini, saya nak share la resepinya, ye. Saya pulak jenis yang malas timbang ikut mesin. Suka resepi guna sukatan cawan sahaja. Marilah kita...


Bahan-bahan:

6-7 biji pisang emas (lenyek-lenyek dan ketepikan)

1 cawan tepung gandum

1 cawan tepung naik sendiri

2 biji telor, dipukul

1 cawan brown sugar

1/2 cawan minyak masak bunga matahari atau jagung

1 sudu teh esen vanilla

1 sudu teh baking powder

Secubit garam

Pisang, dihiris, sebagai hiasan atas muffin


Cara-cara:

1) Dalam bekas, ayakkan tepung gandum, tepung naik sendiri, baking powder, dan garam. 

2) Dalam mangkuk lain, masukkan telor yang telah dipukul dengan garfu, diikuti gula perang, esen vanilla,  dan minyak masak jagung. Kacau hingga sebati. Kemudian, masukkan pisang yang kita dah lenyek awal-awal tadi. Pisang yang kita dah lenyek lama, dia akan tukar color jadi lebih hitam. Takpe, tu buat color muffin lebih lawa. Hehe..

3) Sekarang, masukkan campuran tepung yang kita telah ayak awal tadi ke dalam mangkuk bahan basah kita, iaitu telor dan pisang tadi. Masukkan sikit-sikit je. Sambil kacau tangan je. 

4) Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius, selama 10 minit.

5) Masukkan adunan ke dalam cawan muffin. Isi sampai 3/4 penuh cawan muffin tu. Hias dengan pisang yang dihiris nipis.

6) Bakar pada suhu 170 darjah celcius, selama 20-25 minit, mengikut oven anda. Nak test muffin dah masak ke belum, cucuk dengan pencungkil gigi. Kalau bersih pencungkil gigi tu, tanpa ada apa-apa melekat, dah masak ler tu.

Selamat mencuba!

Resepi asal dari DariDapur. Tapi, saya guna bahan yang ada di rumah, tapi hasilnya masih sangat sedap muffin nya. 😊

Salam Jumaat

 11 Ramadhan 1442 Hijrah.

Hujan dari waktu sahur sampai ke subuh. Saya dah nyaris tak pergi jogging. Lebih kurang pukul 6.30 pagi, hujan pun berhenti. Dalam malas-malas tu, turun la jugak. Hehe..


Saya dengan sahabat lari, Ezan.

Tak lama lepas lari, kawan rasa nak buang air. Berlarian kami ke stesen minyak terdekat, cari tandas. Hehe.. Lawak juga. Tak elok tau, tahan, kalau rasa nak buang air kecik. Bahaya. Gitulah lumrah tengah lari. Kadang rasa nak buang air kecik, kadang air besor. Tempat lari pulak, tiada tandas awam. Kena keluar dari route lari sikit, cari tempat nak membuang. Kalau saya sorang, memang saya masuk kereta, balik rumah la, melepas kat rumah. Hehe...

Pagi tadi, sempat lari sejauh 9.16 km. Alhamdulillah. Sejuk cuaca hari ni, sebab awal pagi hujan. Dalam sejuk-sejuk, peluh merecik jugak. Segar rasa badan.

Hari ni, suami dah bagitau awal-awal, kita buka puasa dengan keepci. Hehe... saya suka! Yay! Tak payah masak!

Jumpa lagi, ye. 😊

Thursday, 22 April 2021

Khamis yang mendung

 10 Ramadhan 1442 Hijrah.

Awal pagi hari ni, sekitar masa sahur, hujan turun. Alhamdulillah.

Tiba Subuh, hujan pun berhenti. Saya pun pergi jogging.


Saya jogging sejauh 8.01 km hari ni. Alhamdulillah.

Gambar di atas, saya teman suami pergi fisioterapi. Walaupun dia dah boleh pergi sendiri, tapi kalau saya ada, senang sikit. Boleh tolong bukak pintu. Hehe... settle billing, dan urus check-in dan buat appoinment seterusnya. 

Eh, lupa pulak. Larian pagi tadi, melayakkan saya dapat badge berikut dari aplikasi Garmin Connect.


Sudah melepasi angka 300 ribu langkah di bulan April. Alhamdulillah, Allah bagi sihat untuk beriadah dan buat kerja.


Bila sampai di hospital, langit mendung. Masa tengok suami buat fisio, hujan renyai pun turun.

Semalam, saya buka posa dengan oat. Dah lama sangat saya tak makan oat. Saya ada buat overnight oat lebih awal. Saya letak 6 sudu besar rolled oat dengan susu tanpa laktosa dari farm fresh, sesudu greek yogurt perasa mulberry dan blackberry, saya potong kecik-kecik kurma sebiji, epal sebiji dan buah pear sebiji. 

Dulu, hari-hari saya makan overnight oat sebagai dinner. Sebab masa tu, suami saya ada program fitness, dan suami kena kurangkan berat badan. Lepas tu dah habis program, kami pun dah lama tak makan. Rasa rindu pulak. Tu yang saya beli oat semula hari tu.

Bukan nak kurus, sebab saya dah pun capai berat ideal saya. Tapi, saya cuma nak lebih eat clean. Pagi tadi, lega, dapat buang air besar dengan mudah. Saya sebenarnya, malas makan serat seperti buah-buahan dan sayur. Jadi, bila buat overnight oat, rasa best sikit. 

Dulu, saya siap letak chia seed, madu dan kismis. Tapi sekarang, saya guna saja apa yang ada di rumah. Kurma banyak, guna kurma saja lah. Hari ni, Insya-Allah, berbuka dengan oat juga. Cuma waktu sahur, saya makan nasi. Sebab saya lari kan. Kalau tak makan nasi, camana nak ada energy. Hehe..

Baiklah. Jumpa lagi ye. 😊   

Wednesday, 21 April 2021

Larian Rabu dan masakan semalam

 9 Ramadhan 1442 Hijrah.

Dah lebih seminggu kita berpuasa. Cepat kan, masa tu.

Pagi tadi, seperti biasa, saya pergi jogging.

Saya dengan Ezan

Pagi tadi, sempat jogging sejauh 9.13 kilometer. Alhamdulillah.

Lepas jogging, balik rumah, mandi dan bersiap. Lepas tu, pergi supermarket, beli barang dapur. Beras nak habis, makanan kucing, dan beberapa barang lagi. 

Semalam kan, saya masak ikan siakap sweet sour. Saya pergi pasar haritu, saya beli ikan siakap 2 potong je. Hehe.. 


Lagi satu hidangan, saya buat sayur campur pecah telor.


Saya guna sayur yang ada dalam peti ais, seperti bunga kobis, carrot dan cili benggala hijau.

Masakan di atas, adalah untuk 3 orang. Lepas tu, masa pergi pasar ramadhan, saya beli lauk ayam percik dan ikan keli bercili untuk lauk bersahur. Bila saya pergi pasar ramadhan, saya suka pergi sebelum waktu asar, dalam pukul 4 petang. Masa ni, orang tak ramai, orang pun tak balik pejabat lagi, kan. Tapi pasar ramadhan di sini, ada orang jaga. Dia tak bagi lebih 200 orang. Ada juga tempat, guna sistem nombor. Bila nombor dah habis, beratur la kat tempat masuk pasar, selagi takde orang keluar. Gitu. Sebab tu, saya suka pergi awal-awal.

Camana pasar ramadhan di tempat anda? Apa? Tak pernah pergi lagi? Hari-hari masak di rumah? Hebat, hebat. Saya pun lebih suka makan masakan dimasak di rumah. Cuma, kat rumah ni, ada anak-anak cerewet, nak makan ayam gunting la, roti john la, jadi kita beli la apa dia orang suka. Asalkan anak-anak berpuasa dan solat, dan buat kerja sekolah. 

Ok la. Jumpa lagi, ye. 😊

Tuesday, 20 April 2021

Riadah Selasa

8 Ramadhan 1442 Hijrah. 

Hujan malam semalam. Sebab saya tengok, jalanraya basah pagi ni. Tapi tidor tak sedar diri, tak sedar pukul berapa hujan.


Saya jogging sejauh 9.44 km pagi ni. Langit cepat cerah. Saya dapati, pukul 8.30 pagi, matahari dah panas. Kena pakai topi esok lari.


Bersama sahabat lari saya, Ezan. 

Lepas lari, balik rumah. Rasa rindu nak jump rope. Jadi, saya lepas rindu sekejap.


10 minit pun jadi la. 

Alhamdulillah, dapat riadah. Rasa segar badan dan otak. 😊

Apa nak masak hari ni, ye? Saya dah bawa keluar ikan siakap dari freezer. Ingat nak goreng je, buat kuah sweet sour. 

Selamat menjalani ibadah puasa, semua. 

Jumpa lagi.

Monday, 19 April 2021

Contest #Luckyblog by AO

 Saya nak join contest oleh blog Alien Oren.


Marilah menyokong contest oleh rakan blogger kita ni.

Klik banner untuk join. 😊

Syukur dan Redha

 7 Ramadhan 1442 Hijrah.

Salam Isnin... 😊


Pagi tadi, saya sempat jogging 7.82 km. Saya datang lambat, kawan jogging saya dah mendahului 1 round. Lepas kawan saya balik, saya sambung jogging 1 round, lepas tu tiba-tiba rasa sakit perut, jadi balik la. 
Gambar bunga rumput liar, yang saya sempat ambil masa buat regangan lepas jogging. Yang kecik, color purple tu, cantik pulak saya tengok. 

Saya dah tak bercucuk tanam. Dah lama. Siram pokok pun tak. Sepanjang ketiadaan saya di blog ni, saya banyak buat kerja dalam rumah saja. Saya tak update blog selama sebulan, sebab saya tak nak tulis apa-apa yang tak elok kat sini. Jadi, saya pilih untuk berdiam diri. Tapi, satu hari tu, saya MELETUP, tau tak. Huhuhu... apa taknya, setelah sekian lama, semua kerja hempuk atas kepala saya, maka gunung berapi pun meletus la. Cuma saya tak bertukar hijau je, tapi suara tetap high pitch, sampai semua orang menikus. Anak-anak jarang dengar suara saya tinggi. Sekali mama dia orang meletup, hambik! Kejadian ni berlaku sebelum bulan puasa. 

Sekali-sekala, kena keluar juga, bagi semua orang tahu, yang sesungguhnya, kita bukan orang gaji kat rumah tu. Tapi selepas kejadian tu, anak pun dah pandai, bila tengok ada teko atau gelas belum dibasuh atas meja, dia pun basuh. Kalau tak, manjang mak je yang bersihkan. Saya cuma berharap anak-anak saya lebih berdikari. Saya dulu, sejak saya darjah 5, saya dah ke sekolah naik basikal. Tak susahkan mak bapak pun. Bila dah jadi surirumah ni, saya sakit pun boleh buat bodoh, demam pun takde terbaring, masih memasak dan jadi driver hantar dan ambil anak sekolah. Hari ni saya beranak, lusa saya dah mandikan baby. Dalam pantang pun, saya dah buat kerja jaga anak dan memasak. Sejak saya meletup tu, suami saya pun pergi fisio sendiri. Bila kita susah, dan kita takde pilihan, maka being strong adalah apa yang kita harus jadi. 

Sepanjang saya bertapa tu juga, saya banyak mengaji. Saya faham, yang apa terjadi, semua atas ketentuanNya. Saya mula terima seadanya dengan tenang. Bila saya free, saya teman suami fisio juga. Cuma saya memang kena berlari, sebab lari itu adalah terapi minda buat saya. Lari buat saya waras. "Bulan-bulan puasa pun lari, waktu pagi pulak tu, mesti tak puasa ni", mesti ada orang fikir macam tu. Sejujurnya, tak penting pun apa orang lain fikir pasal saya. Tapi apa yang penting, adalah apa yang Allah fikir pasal saya. 

Saya bersyukur atas segala nikmat yang Allah bagi. Dia bagi saya berlari, suami yang memahami, anak-anak yang bijak. Saya redha atas ujian yang diberi. Dia tak kan uji kita lebih dari apa yang kita mampu.


Gambar masa saya dan suami ambil angin sat, dekat tepi Esplanade Lumut, lama tak tengok laut. Kawasan ni, tempat riadah orang ramai, tapi kurang mesra OKU. Dekat pintu laluan masuk, diletak bar-bar besi, mungkin sebab tak nak bagi motor masuk kot. Tapi susah untuk orang pakai tongkat nak lalu. Tapi, exercise yang bagus la untuk suami saya hari tu. Kaki dia dah tak berbalut, tapi dia kena pakai knee brace, yang boleh dilaras. Mula-mula lurus je kaki dia. Tapi sedikit demi sedikit, bila pergi fisioterapi, orang tu adjust jadi ke 30, 60, dan kini, sudah 90 darjah boleh bengkok kakinya. Alhamdulillah. 

Bercakap dan berbincang itu perlu. Jangan simpan dalam hati. Saya cuma manusia biasa, yang cuba untuk jadi lebih baik dari sebelumnya. Kita selalu lupa. Redha tu, senang nak tulis, nak cakap, tapi redha dalam hati tu, susah nak buat sebenarnya. Berserah hanya pada Dia. Lepas susah, mesti ada senang. Insya-Allah. 

Kalau rasa kurang baik tu, tak perlulah ikut. Setiap orang punya pendapat masing-masing. Nama pun hidup, mesti ada naik turunnya. Kita je yang kenal diri kita. Pilihan di tangan kita. 

Ok la. Banyak pulak saya tulis hari ni. Jumpa lagi, ye. 😊

Sunday, 18 April 2021

Apa cerita?

 Lama betul saya tak update blog. Sebulan! Tudia... haha... 

Banyak benda berlaku. Masa saya penuh. Sebelum tu, saya nak ucapkan, selamat berpuasa kepada semua pembaca blog saya ni. Saya hargai anda semua masih datang sini, tinggalkan komen, juga yang email bertanya khabar saya. I is terharu gitew! 😘

Pagi tadi, saya jogging. Selalunya, saya jogging petang di bulan puasa. Tapi, saya dapati, saya sedikit kelam-kabut jogging waktu petang. Bila rasa kelam-kabut, saya tak sengaja ter-laju. "Aku nak balik cepat! Lauk belum perangat!" Gitew... lepas tu, kaki pun sakit, sebab ter-over speed. Time tidor, kaki kejang. Sakit wooo... alamak... jadi, saya pun tukar la strategi. Hari ni, saya jogging pagi. Ni mesti ada yang bertanya, mesti tak posa ni. Ye, saya tengah uzur. Tapi bila saya dah boleh puasa, Insya-Allah, saya plan nak jogging pagi juga. Kawan saya puasa sorang, dia boleh jogging setiap pagi. Jadi, saya pun boleh. Insya-Allah. Kita santai-santai je, pace 10.

Hai! Dengan Putih, si gebu yang manja.

Baiklah. Suami saya, masih MC, tak kerja. Seminggu, 2 kali, suami saya pergi fisio. Alhamdulillah, keadaan dia beransur baik. Dia masih berjalan guna tompang ketiak tu. Tapi doktor dah bagi kaki dia pijak tanah. Tahukah anda, sudah 6 minggu, semenjak dia jalani pembedahan lutut? Cepat, masa tu kan. Suami sudah boleh hantar dan ambil anak ke sekolah. Jadi, kerja saya semakin ringan. Kereta auto la. Kereta manual, dia tak boleh bawak lagi.  

Itu je la cerita buat kali ni. Lain kali saya cerita lagi ye.

Selamat berhujung minggu buat semua pembaca sekalian.

Jumpa lagi... 😊