Saturday, 29 May 2021

Selamat bercuti

 17 Syawal 1442 Hijrah.

Lockdown la pulak. Bagus la. Semoga kes covid makin kurang lepas ni. Nasib baik saya dah beli stok makan semalam. 

Biasanya kan, saya sarapan lewat. Tapi hari ni, pukul 7 pagi saya dah sarapan. Saya bangun awal, masak nasi goreng. Ada baki roti canai yang beli semalam, saya perangat, pecah telor. Jadi roti tampal. 


Gambar menunjukkan sarapan saya pagi tadi, iaitu nasi goreng bersama telor mata. Secawan kopi. Alhamdulillah.

Suami saya masuk kerja pukul 8 pagi. 

Lepas saya siram pokok, saya cabut rumput, dan menebas sikit. Sampai la pukul 9 lebih. 

Selfie dengan sabit.

Saya tak berlari hari ni. Tapi, saya ber-jump rope.


30 minit, semput tau! Gambar di atas, saya tengah buat sejenis footwork, yang namanya skier. Macam orang main ski, turun bukit bersalji tu. Hehe.. dulu saya tak reti buat pelbagai jenis footwork ni. Saya cuma tahu basic lompat je. Kena selalu praktis, nak melatih otak dan kaki. Hari ni, saya melompat selain boxer steps, saya buat scissors (kaki silih berganti depan dan ke belakang), side straddle (kaki buka, tutup, buka tutup), skier (kedua kaki rapat dan gerak ke kiri dan ke kanan), bell (kaki rapat dan gerak kaki ke depan dan ke belakang, macam loceng besar tu) dan mummy kick (kaki silih berganti tendang ke depan). Yang mummy kicks ni, saya baru cuba hari ni. Boleh buat setelah banyak kali cuba. Yay!


Jumlah lompatan hari ni adalah 1 ribu. Saya rehat setiap 100 lompatan. Sama ada saya buat regangan, atau saya minum air. Hehe..

Lepas beriadah, kita selpiaq lagi.


I feel good, dapat beriadah dan keluar peluh. Alhamdulillah..


Jumlah steps dari berkebun hingga ber-jump rope adalah 6090. Tak sampai target 10 ribu langkah pun. Tapi takpe la. Buat mana mampu.

Tajuk entri, selamat bercuti. Cuti la, sebab sekolah pun cuti, takde PdPR. Yay! Marilah kita duduk rumah diam-diam.

Selamat berhujung minggu, semua.

Jumpa lagi, ye. 😊

Friday, 28 May 2021

PKPD Mukim Sitiawan, Manjung, Perak

 16 Syawal 1442 Hijrah

Semalam, ada pengumuman tentang PKPD di kawasan berdekatan rumah saya, bermula esok. Berikut butirannya:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 dalam Mukim Sitiawan, Manjung, Perak yang melibatkan:

• Sitiawan
• Seri Manjung
• Ayer Tawar

Sehingga kini, KKM mengesahkan Mukim Sitiawan telah mencatatkan 135 kes semasa dalam tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei 2021 sekali gus menyumbang sebanyak 58.7% kes di daerah Manjung.

Selain itu, berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam kawasan berkepadatan tinggi serta jangkitan dalam komuniti di mukim ini yang melibatkan Pekan Sitiawan, Pekan Ayer Tawar, Pekan Kg Koh, Pekan Pasir Panjang dan Bandar Seri Manjung.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sitiawan, Manjung, Perak berkuat kuasa 29 Mei sehingga 11 Jun 2021.

Pelaksanaan PKPD dapat mengurangkan pergerakan penduduk dalam dan luar mukim, mengelak penularan kes import dan seterusnya mengurangkan risiko penularan di kalangan komuniti setempat.

Hambik... rumah saya di Lumut, bersebelahan dengan Mukim Manjung. Kalau saya keluar beli barang, selalunya masuk Manjung. Berikut saya sertakan peta:


Kalau pembaca zoom-in peta tu, anda boleh nampak yang Lumut tak kena PKPD. Saya duduk di Lumut. Line Merah tu, adalah kawasan PKPD.

Saya pun tak nampak lagi macamana esok. Mana jalan yang ditutup, mana jalan boleh lalu. Sebab, minggu depan saya ada temujanji di hospital, laluan ke hospital tu, dalam kawasan PKPD. Haaa... camana tu? 

Pagi tadi, lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya keluar cari bahan mentah sikit. Sementara jalan belum ditutup. 


Gambar di Pasar Manjung, pagi tadi. Ramai orang dari biasa, walaupun masih awal. Saya tak dapat beli ayam dan daging, sebab orang yang jual cuti. Ada pakatan ke, apa ni.. Pelik pulak. Ikan dan sayur banyak. Saya beli sayur dan barang-barang mentah nak masak. 

Lepas tu, saya pergi kedai runcit, beli barang kering sikit, macam bihun, mee, sabun, spagetti, dan sebagainya. 

Lepas tu, saya singgah mamak, bungkus roti canai dan nasi lemak untuk sarapan saya dan anak-anak. Suami sudah pergi kerja, pukul 6 pagi.

Lepas tu, saya pergi speedmart pulak, beli barang makan lagi, seperti biskut, makanan ringan nak kudap-kudap, plastik sampah, barang frozen macam nuggets, dan sebagainya. Haa, banyak tempat saya beli. Saya tak ke pasaraya seperti TF tu. Nak tau sebab apa?


Tu, kawan saya share gambar masa dia pergi TF. Beratur orang, di kawasan redup, bawah parking kereta tu, dengan troli masing-masing, menunggu giliran nak masuk TF. Panic buying di mana-mana.

Tu pasal saya suka pergi beli barang di kedai runcit kecik-kecik, sebab kurang orang banding pasaraya besar. Memang senang, dan sejuk pula sebab aircond, tambahan pula one-stop-centre, semua ada bawah satu bumbung. Tapi saya bukan jenis penyabar ye, nak beratur tunggu giliran nak masuk beli barang. Baik saya pergi kedai kecik. Kalau takde barang, pergi speedmart pula. 

Gitu cerita pagi ni. Pertama kali ni, kawasan sini kena PKPD. Harap semua orang dapat duduk rumah lepas ni diam-diam. Hehe.. saya dah baca SOP PKPD. Semua aktiviti bersenam dan rekreasi tak dibenarkan. Tempat rekreasi semua ditutup. Selamat.

Lepas balik rumah, kemas segala barang stok makanan, saya pun beriadah dalam rumah.


Saya lari 5 kilometer saja hari ni. Dah tak larat dah. Lepas lari, saya buat yoga sekejap.

Saya dapat lencana berikut dari aplikasi Garmin Connect.


Wah, tak sangka dah 100 kali dah, saya berlari dalam rumah, secara terkumpul, sejak saya mula berlari. Peh, gila ke apa aku ni. Hehe... dah saya dah bosan dah lari dalam rumah. Cadangnya start esok, saya nak bercucuk-tanam pula. Bosan la keliling meja makan. Nak tengok pokok pulak.

Selamat sudah beli barang. Harap pembaca semua pun selamat juga, walau di mana anda berada. Selamat beristirehat, esok sabtu. Selamat menjalankan tugas, kalau bekerja. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Thursday, 27 May 2021

Lari banyak, makan banyak

 15 Syawal 1442 Hijrah

Hari Khamis. Hari ni, saya dan suami puasa. Meh tengok lauk sahur pagi tadi.


Banyak pulak ceduk nasi. Siap tambah nasi 2 pinggan, sedap punya pasal. 😋😁 Lauk ikan cencaru sumbat dengan kicap je. Kicap tu, saya letak bawang yang dihiris, bersama cili api potong, dan saya perah air lemon. Patutnya, perah limau kasturi. Tapi, malas nak keluar rumah amik limau kasturi kat pokok, gelap-gelap. Jadi, guna apa ada dalam peti ais. Alhamdulillah.

Suami masuk kerja pukul 6 pagi. 

Saya pula, pukul 7.30, pergi hospital, ada appoinment doktor. Saya ada buat mammogram sebelum bulan puasa dulu. Pastu, keputusannya, ada jumpa sesuatu. Lepas mammogram tu, siap buat ultrasound lagi. Saya buat under program subsidi kerajaan tu, mammogram percuma, di klinik Nur Sejahtera LPPKN. Saya pergi bukan sebab nak buat mammogram, tapi sebab masukkan implanon, sejenis perancang keluarga. Tapi dah alang-alang dok situ, doktor suruh saya buat. Kan dah jumpa sesuatu. Lepas tu, dia refer saya ke hospital manjung. 

Pagi tadi, dari jabatan pesakit luar, dia refer saya ke bahagian pakar pula, SOPD. Jadi, minggu depan saya kena pergi hospital lagi. Apa-apa, saya update sini ye. 

Saya ok je, sihat sejahtera. Tapi memandangkan saya ada sejarah, arwah ibu saya meninggal sebab breast cancer, jadi itu yang dia bagi appoinment cepat. 

Balik dari spital, barulah saya lari dalam rumah.


10 kilometer. Alhamdulillah. Gambar selfie lama tu. Ni, apehe, hari-hari upload selfie. Nak jadi uncle gedek gamaknya. Hehe..

Ok la ye. 

Saya nak kena masak nasi baru. Anak-anak saya dah habiskan nasi satu periuk. Kuat makan betul la.

Jumpa lagi ye. 😊

Wednesday, 26 May 2021

Sedih sikit :-(

 14 Syawal 1442 Hijrah.

Hari ni, cuti umum. Hari Wesak.

Pagi-pagi buta, saya buat nasi goreng. 😁


Semalam, ada leftover, ayam goreng, 2 ketul. Saya campak dalam nasi goreng. Bubuh kicap. Sekian. Selain untuk sarapan kami anak beranak, untuk bekal suami ke ofis juga. Dia masuk kerja pukul 6 pagi ni. Bersiap-siaga! Semangat! Berusaha! Kikiki...

Lepas siram pokok bagai, maka saya pun berlari dalam rumah.


11 kilometer hari ni. Alhamdulillah. Siku kiri saya ada lebam, semalam terlanggar tombol pintu waktu berlari. Lari dalam rumah tak boleh laju-laju, bila dah banyak kilometer, kita start rasa terhoyong-hayang, nak langgar dinding dan perabot. Lari dalam rumah, pace 10. Lari kat luar pun, pace 10 juga. Huhu... saya pelari siput. 

Sebenarnya, saya ada rasa sedikit sedih. Kenapa? Sebab kawan-kawan saya berlari di luar. Saya tak dapat yakinkan kawan-kawan saya untuk stay at home, di kala kes covid dah 7 ribu ni. Di kala kes kat sini, pun semakin banyak ni. Seolah-olah, ikut majoriti. Saya tak tahu nak terangkan macamana. Tapi, lebih kurang macam di bawah ni.

Kredit instagram: zainiabdulwahab

Right is not about what most people do, but it is about what is the right thing to do. 

Kalau tak de treadmill, boleh je lari keliling meja makan, masuk bilik, macam saya. Kalau tak nak, boleh riadah cara lain, yoga boleh, weight lifting boleh, bercucuk tanam boleh, aerobik tengok youtube, skipping, semua tu, keluarkan peluh, asalkan duduk di rumah.

Saya cuma berdoa, berserah, semoga semua orang selamat dan dijauhkan dari covid ni. Buat saya tertanya-tanya, aku buat benda betul ke ni? Lari dalam rumah? Kenapa lari dalam rumah? Sebab saya nak putuskan jangkitan covid. Saya nak jaga keluarga saya. 

Memang tak salah, lari kat luar. SOP pun membenarkan lari di luar. Ish... tak tahulah saya. Saya ada baca komen sorang runner. Dia tulis, "Benda boleh lari luar. Buat apa duduk rumah". Runner ni, dia merentas negeri suka hati dia, sebab kerja dia, sekejap dia di sabah, sekejap di perak, sekejap di negeri sembilan. Lagi satu, dia confident cakap macam tu, mungkin sebab dia dah vaksin 2 kali kot. Huh... eksyen betul.  Haiii... tak tau la saya. Astaghfirullahalazim... aku dah mengumpat orang.

Ok, saya diam-diam je la. Masing-masing ada kepala otak sendiri, boleh fikir mana baik, mana buruk. 

Lepas lari dalam rumah, saya buat yoga sekejap. Lepas tu, tepek muka dengan aloe vera. Lepas tu, mandi. Kemudian, barulah saya bersarapan...


Makan nasi goreng dalam mangkuk. Lepas tu, ada celur bendi, 3 biji. Bagus tau, bendi ni. Dulu, masa muda, saya tak reti makan bendi. Dah tua, baru sedar akan khasiatnya. 

Saya baca orang share ig Misha Omar, Dr maszlee, tak dapat nak register Astrazeneca. Memang perlumbaan betul yek... Adoi... memang rezeki la, siapa yang dapat tu. Dia belum buka lagi untuk Perak. Kalau buka, saya pun akan cuba juga, Insya-Allah. Hai, macam-macam. 

Ok la ye. 

Jumpa lagi... 😊

Tuesday, 25 May 2021

Telor tiga suku masak

 13 Syawal 1442 Hijrah.

Apa khabar pembaca yang saya hormati sekalian? Harap korang semua sihat sejahtera. 😊

Meh tengok saya dan keluarga sarapan apa pagi tadi.


Telor tiga suku masak, 2 biji, setiap sorang.

2 keping roti bakar, setiap sorang.

Macam sarapan kat mamak pulak. Rindu nak lepak kat mamak. Huhu...

Ha, hari ni sempoi sarapan. Biasanya hari-hari, saya masak nasi putih dan lauk dah untuk sarapan. Hari ni, makan roti sahaja. Sekali-sekala. Tukar selera. 

Telor yang lembut, digaul dengan kicap manis dan lada putih, kacau-kacau, lepas tu, letak dalam roti bakar. Ngappp... masuk lumut, sambil pejam mata, huuuu..... nikmat.... sedap, tak tau nak haaaaaaaaa....baqqqq...! 😋

Suami saya off kerja hari ni. Tapi dia kena pergi hospital, ada fisio. Jadi, masa dia pergi hospital, saya pun jogging dalam rumah.


Hari ni, saya lari sejauh 11 kilometer. Tertulis treadmill running dalam screenshot di atas. Lari dalam rumah, bila pakai jam sukan, kena guna setting treadmill, sebab dalam rumah, tak boleh detect GPS, seperti lari di luar. Walaupun saya bukan lari guna treadmill pun. Saya lari keliling meja makan dan masuk bilik.

Lepas lari, saya buat yoga selama 15 minit. 

Lepas beriadah, saya goreng ikan untuk makan tengahari. Saya dah masak nasi siap-siap dah awal pagi tadi.


Saya masak ikan cencaru sumbat. Dah lama sangat saya tak masak ni. Macam hangus je cili yang saya sumbat dalam ikan tu. Tapi sedap je masa makan. Hehe.. sedap bagi tekak saya ni la. Rindu ikan cencaru sumbat yang arwah mak saya masak. Sedap. Makan ikan dengan nasi panas pun dah cukup. 1 lauk je. Sebab sambal dalam ikan tu, gaul dengan nasi. Dah cukup dah. 😋

Ok la ye.

Saya dah takde idea nak tulis apa.

Jumpa lagi... 😊

Monday, 24 May 2021

Masakan dan larian Isnin

 12 Syawal 1442 Hijrah.

Hari ni, mesti ramai yang berpuasa. 

Saya tak posa, uzur. Hehe, Saya masak sarapan, pagi tadi.


Saya masak nasi dan goreng ikan, ikan apa ye... saya pun tak tau la nama ikan kat atas. Saya ada tanya amoi yang jual ikan ni, semalam. Tapi saya dah lupa. Ikan nyuk nyuk ke? Dia, besar sikit dari ikan selar. Hehe.. saya ni, ikan merah yang belum dipotong pun tak tau rupa dia camana. Saya tahu ikan kembung, ikan pari, ikan bilis, ikan cencaru, ikan kayu, ikan salmon, ikan puyu, ikan sepat, ikan keli, ha, tu je kot. Ikan lain, saya kena tanya orang yang jual tu. 😁 Ikan goreng ni, share 3 orang, saya, suami dan Abang Long. 


Goreng nugget ayam lagi, guna air fryer je. Yang ni, sat je habis. Kita tak sempat merasa sebiji pun.


Telor dadar. Abang Su makan dengan nasi, Abang Ngah suka makan dengan roti.


Ulam raja, petik depan rumah je. Nasi makan dengan sambal tumis ikan bilis. Last la ni perangat, dah nak habis dah sambalnya. Saya buat banyak hari tu.

Lepas rileks-rileks sambil lipat kain, barulah saya lari dalam rumah.


12 kilometer hari ni. 2 jam lebih ambil masa bila lari dalam rumah. Sampai kilometer ke-9, saya lari sambil goreng ikan second round. Buat bekal suami nak masuk kerja tengahari. 

Gambar di atas, pokok bougainvilla tu dah naik atas pokok sakura. Pokok sakura dah berbunga, color pink. Suka saya. Saya tak cantas pun, bougainvilla tu. Biar la dia. 

Suami saya cakap, dia rasa pelik, sebab saya ada di rumah. Selalu waktu pagi, saya hilang, pergi jogging. Hehe.. masuk hari ni, dah 2 hari saya jogging dalam rumah. Tapi suami saya suka saya duduk rumah. Saya pun suka juga. Sebab sambil lari, boleh masak kat dapur. Hehehe...

Ok la ye.

Jumpa lagi. 😊

Sunday, 23 May 2021

PKP Kendiri

 11 Syawal 1442 Hijrah.

Jadi, semalam, dia dah pun announce tentang sop baru PKP diperketatkan. Aktiviti riadah yang individu dibenarkan. Semalam saya tengok masa siaran langsung press conference tu. Masa Dr. Noor Hisham cakap pasal orang berhimpun, virus tak berhimpun. Lagi dia cakap, kalau takde apa-apa hal penting, duduklah di rumah. Bila berhimpun, mutasi berlaku. Dari kes sivagangga dulu. Dia bila kat hospital, pakai mask 3 ply tu, 2 lapis. Variant baru ni, bukan droplets. Airborne. Lepas tu saya terfikir, tahun depan, saya nak raya sambil kunjung-mengunjung. Tak best, raya dalam rumah saja. Raya tahun ni, walaupun suami saya cuti, dia tak dapat balik ke kampung dia di Kelantan, sebab PKP. Last sekali suami saya jumpa mak dia, masa raya haji tahun 2020. Saya check fungsi hotspot kat mySejahtera, ada 7 kes dalam lingkungan 1 km radius dari rumah saya. Dari tempat saya jogging, ada 14 kes. Jadi, saya pun ambil keputusan untuk PKP kendiri di rumah. Maksud saya, duduk kat rumah la, kalau takde apa-apa penting. Walaupun kawan-kawan lari saya semua keluar jogging hari ni. Ada yang jogging di kawasan kejiranan. Ada yang jogging di tempat lari biasa. Entah. Saya cuma terasa bila Dr Noor Hisham tu cakap semalam. Kapasiti katil ICU dah sampai tahap 91%. Saya kesian kat frontliners seperti doktor dan nurse. Saya ada tengok video kat pusat kuarantin tu, yang frontliners bertungkus-lumus buat CPR kat sorang pesakit. Ada banyak kes brought-in-dead sekarang. Saya ada asma. Kalau saya sorang kena, mati terus takpa. Camana kalau saya balik jogging, saya jangkit pada anak-anak saya? Peh... mintak jauhlah, kan. Nauzubillah... ini je kot yang saya boleh sumbang dalam usaha untuk kurangkan jangkitan covid. Takpe la kalau dia orang masih nak ramai-ramai kat Aeon tu ke, jogging ke, tapi saya boleh jogging dalam rumah. Itu lah yang saya akan buat sepanjang 2 minggu ni. Saya cuba. Walaupun sop baru start 25 Mei. Virus tu kan tetap ada, bukan skrang dia takde, 25 mei baru dia keluar. Bukan 8 pagi dia takde, virus tu manjang ada. Bukan 10 malam dia baru keluar. Beza kan, cara kita cakap tu, boleh bawa kesan pada seseorang. Cara Dr Noor Hisham tu cakap, macam bapak yang nasihat anak dia, kan. Terkesan pula, masuk dalam hati saya. Niat dia baik kot, tak nak apa-apa benda buruk jadi kat kita. Bukan macam ismail sabri tu cakap, takde kesan langsung. Ibarat angin lalu. Maaflah. Ni cuma pendapat saya saje. Semua orang ada pendapat masing-masing, kan. Ke, tak boleh bagi pendapat? Kalau salah bagi pendapat, kena tangkap dek polis? Huhu...

Saya bangun sedikit lewat hari ni. Tapi, saya masuk dapur dulu, goreng bihun. Dah lama saya tak buat bihun goreng, tau. Dah bertahun kot. Hehe...


Saya guna  1 bungkus bihun. Letak fish cake dan sotong. Boleh tahan sedap la. Mungkin sebab dah lama saya tak masak. Dah tinggal cinonet je bihun dalam kuali.

Aktiviti riadah saya hari ni adalah seperti berikut. Sebab dalam rumah, takde la saya berselfie. Sebab tak pakai tudung, riadah dalam rumah. 


Saya buat 2 sesi. Sesi pertama, 8 kilometer lari keliling meja makan dan masuk bilik. Diikuti cooling off dengan yoga. Lepas tu, saya berenti makan sarapan dengan suami. Lepas tu, suami ajak ke kedai, beli barang sikit. Sayalah yang kena masuk kedai. Suami bawa kereta saja. Lepas tu, suami masuk kerja tengahari. Ha ah, suami saya kerja shif. Jadi, tak kira, hujung minggu ke, hari biasa ke, dia kerja juga. Alhamdulillah. Jangan komplen. Yang penting, dia masih ada kerja. Lepas dia pergi kerja je, saya buat riadah sesi kedua. 7 kilometer jogging dalam rumah, dan yoga juga. Jadi, total hari ni, 15 kilometer, dalam rumah. Boleh tahan ye. Sumbat telinga dengan spotify la. 

Rasa lega sebenarnya, dapat riadah solo hari ni. Agaknya, saya ni memang jenis lone ranger kot. Bukan saya anti sosial. Saya suka berkawan. Tapi saya enjoy buat benda sendiri juga kadang-kadang. Me time. Boleh muhasabah diri sendiri, fikir dan atur strategi balik. 

Ok la ye. 

Jumpa lagi. 😊

Kita jaga kita.

Saturday, 22 May 2021

Masak apa dan larian sabtu

 10 Syawal 1442 Hijrah

Awal pagi tadi, seperti biasa, saya masuk dapur. Masak benda simple-simple.


Saya goreng telor dadar. Ayam KFC, saya perangat. Ni, ayam baru sampai semalam. Kawan anak sulung order kan foodpanda untuk dia, sebab hari tu dia ada tolong kawan tu shooting dan buat video untuk aplication belajar ke mana ntah. Tidaklah saya bertanya. Dia tolong kawan, kawan tu belanja kfc. Udah malam, dia tak makan, jadi hari ni saya perangat balik. Pastu, saya rebus telor 4 biji.


Goreng nugget ayam, guna air fryer je.


Perangat sambal tumis ikan bilis semalam masak.


Saya goreng ikan kering sekor. 😋

Saya potong kek lapis sarawak, last unit, yang kakak tengah saya pos dari sana. Yang ni, ada rasa strawberry jem. 

Lepas Subuh, saya keluar jogging.

Saya dan Ezan

Hari ni, orang yang saya dah lama tak nampak jogging pun ada. Macam semua orang lepas geram lari, kot-kot lepas ni ada pengumuman PKP diperketatkan, dah tak boleh jogging ke. Saya perati kat Strava pun, ramai orang lari jauh, yang buat half marathon pun ramai. Sama ada orang takut lepas ni dah tak boleh lari luar, atau pun orang baru habis puasa 6, dan dah mula lari balik, setelah berehat masa bulan posa.



Larian pagi tadi adalah sejauh 9.56 kilometer. Alhamdulillah.


Menurut aplikasi Strava, saya dah pun melepasi angka 200 kilometer berlari bulan Mei ni.

Lepas lari, balik rumah, sarapan dengan suami. Dia masuk kerja tengahari hari ni. Boleh sarapan sama-sama.


Err... dari gambar, nampaknya nasi saya macam terlebih sikit hari ni. Tak berapa nak jadi, hidangan suku suku separuh. Saya lapor, encik.

Lepas sarapan, saya basuh kasut lari saya sepasang.


Saya cuma bersiap-siaga. Setakat entri ni ditulis, tak tahu apa-apa SOP baru tentang aktiviti riadah lagi lepas ni. Kalau dah tak boleh lari luar, saya dah boleh lari dalam rumah semula, macam PKP 1.0 dulu. Saya lari keliling meja makan dan masuk bilik. Kalau nak jump rope dalam rumah pun, takde masalah dah, sebab kasut dah bersih. 

Kalau lari di luar masih dibenarkan, takpe la, saya ada kasut bersih sepasang. Dah lama tak basuh kasut Kalenji ni. Beli kat Decathlon. Kasut ni saya dah pakai berlari melebihi 1,429 kilometer dah. Berbaloi dengan harganya. Masih dalam keadaan baik, cuma tapak dia sedikit haus. Selagi tak berlubang, kita lanyak je. 

Ok ler.. tu je cerita hari ni.

Selamat hari Sabtu, semua. Jumpa lagi, ye. 😊

Friday, 21 May 2021

Kezutan lagi dan larian Jumaat

 9 Syawal 1442 Hijrah.

Semalam petang, saya pergi kedai runcit dekat rumah, beli barang dapur sikit. Masa di kedai, saya terima panggilan, ada runner nak hantar barang ke rumah. Ler, siapa pulak bagi barang kat saya ni. Semalam birthday saya. Hehe.. 


Hadiah dari kedua kakak-kakak saya. Walaupun takde kad ucapan dalam bouquet tu, hanya ada 2 orang je panggil saya Tot dalam dunia ni. Hehe... Semalam, selain dapat kejutan dari suami dan anak-anak, kakak-kakak saya pun turut bagi kejutan, tak bagitau apa-apa nak bagi hadiah. Terharu saya. Dah tua-tua, dapat cokelat dan belon. Alhamdulillah. 😍

Pagi tadi, saya bangun awal, seperti biasa. Saya sediakan sarapan. Saya masak nasi dengan sambal tumis ikan bilis. Ayam goreng keepci ada banyak lagi, jadi, saya cuma perangat. Selagi saya mampu, saya akan cuba untuk sediakan sarapan untuk suami dan anak-anak sebelum saya keluar jogging. Lainlah kalau suami dah pesan awal, tak payah masak, baru saya tak masak.

Dari kiri: Kak Long, Amy, Zura, Ezan dan saya.

Pagi tadi, saya lari sejauh 9.16 kilometer. Alhamdulillah.

Gambar di atas, adalah gambar geng lari saya, the Running Makciks. 😊 Sementara boleh keluar lari, kami lari la. Nanti kot dia suruh duduk rumah total lockdown, kita lari je la dalam rumah. 

Balik lari, saya siram pokok. Lepas tu, saya buat rawatan muka, saya guna daun lidah buaya tu, sapu kat muka. Sedap pakai lidah buaya tu, rasa sejuk je. Sampai saya terlelap la. Terus saya lambat sarapan.


Pukul 11.30 pagi baru saya sarapan seperti gambar di atas, merangkap makan tengahari sekali. Hidangan suku-suku separuh. Sayur salad hijau dan ungu dan tomato ceri. Nasi putih letak sambal tumis ikan bilis. Protein pula ayam goreng keepci semalam. Sambal tumis saya pedas, tapi sedap. Puji diri sendiri. Hehe... Selera saya. Sabor banyak-banyak supaya tak tambah nasi lagi.

Baiklah. 
Semoga urusan anda semua dipermudahkan ye. Walaupun hari dah petang ni. Selamat beristirehat. 

Jumpa lagi. 😊

Thursday, 20 May 2021

Kejutan

 8 Syawal 1442 Hijrah.

Saya tak berapa konsisten dalam meng-update blog semenjak dua menjak ni. Huuu... maap ye. 

Meh saya cerita apa yang berlaku sejak saya tak update blog, iaitu sejak hari Selasa.

Selasa


Pada hari Selasa lepas, saya jogging sejauh 7.69 kilometer. 

Dalam gambar di atas, saya selpiaq depan pokok bunga kertas saya, yang malu-malu dalam mengeluarkan bunganya. Jadi, bila dia berbunga, haruslah saya ambik gambor depan pokok. Hehe.. apa taknya, tuannya malas letak baja.

Rabu

Pada hari Rabu pula, iaitu semalam, berikut hasil larian saya.


Saya berlari dengan Kak Long. Lepas 5.8 kilometer, saya berenti sat, pergi jumpa kawan jual tudung. Saya order dengan dia, hari sebelumnya, melalui whatsApp. Saya beli 2 helai, tudung sarung, warna hitam. Kalau kita tak support bisnes kawan, siapa lagi, ye tak. Kawan saya yang jual tudung ni, dia lari situ juga, cuma dia kena balik awal.

Lepas ambik tudung dengan dia, saya sambung jogging 1.2 kilometer, dengan kak long. Alhamdulillah, dapat tudung baru, boleh pakai lari.


Balik rumah, selpiaq bawah pokok ceri. 

Suami ada belikan sarapan. Dia tak kerja, hari off. 


Saya sarapan nasi lemak ayam goreng. Tau tak, dah berapa lama saya tak makan nasi lemak? Nikmatnya.... sedapnya....! Alhamdulillah. Nasi banyak macam tu, saya habiskan, lepas tu, rasa genduts. 😁

Khamis

Saya ambil keputusan untuk puasa setiap Isnin dan Khamis. Saya juga ambil keputusan untuk rehat, tak lari, setiap Isnin dan Khamis. Bermula hari ni.  😊


Suami saya bangun, goreng nasi. Dia puasa juga, teman saya puasa hari ni. Yay! Dah lama tak makan nasi goreng yang dimasak suami saya. Alhamdulillah. Gambar di atas, adalah makanan waktu sahur. Minum air milo panas. 

Lepas subuh, baca yassin. Lepas tu, saya membaja pokok bunga, sambil menebas sikit. Kena tebas rumput-rumput keliling pokok bunga, baru boleh letak baja. 

Lepas mandi, suami buat kejutan. Dia hantar delivery pada saya. Saya dah dengar orang bagi salam, masa saya mandi. Tapi suami cakap, nanti orang tu datang kemudian. Laaaa....


Sebiji kek, dan jambangan bunga dan coklat. Gambar ni, orang delivery tu yang ambik, dia hantar pada suami saya.

Eh, saya lupa nak cakap ke? Hari ni, harijadi saya la, yang ke-43! Hehe...  

Jambangan bunga ros merah dan coklat dan belon


Sebiji kek. Nanti boleh makan waktu berbuka. 💖😊 

Terharu saya. Saya tak pernah terima hadiah macam ni, dari suami dan anak-anak. Huk huk... gembira... Alhamdulillah...

Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah bagi. Dia bagi family yang sayang saya, yang dekat, yang jauh, kawan-kawan lari yang memahami dan sekepala, Dia bagi saya nikmat berlari dan sihat, supaya saya boleh jalankan tanggungjawap saya sebagai isteri, ibu dan hambaNya. Saya cuma harap saya dapat istiqamah dalam solat, jaga aurat saya, dan perbaiki mana yang patut, dalam mencari redha Allah. 

Saya doakan pembaca semua serta keluarga masing-masing sihat sejahtera dan dilindungi dari virus covid. Nanti dia akan bagitau kan, nak buat full lock-down atau tidak. Kita tunggu dan lihat saja.

Selamat ye, semua...

Jumpa lagi... 😊😊

Monday, 17 May 2021

Sahur solo

 5 Syawal 1442 Hijrah.

Bangun pukul 4 pagi. Mandi. Tahajud. Masuk dapur, goreng nasi.


Nasi goreng simple je, tumis bawang merah dengan cili kering. Campak fish cake, pecah telor sebiji. Ada lebihan daging 3-4 ketul dari gulai daging masak hari sebelumnya, pun campak juga. Buat hidangan sahur.

Lepas makan nasi goreng, rasa macam nak makan lagi. Saya perangat sekeping gardenia wrap dalam microwave, dalam 40 saat, dan saya letak serunding.


Salad kat rumah dah habis. Lipat-lipat wrap, dan ngap, makan. Alhamdulillah. Ni la masalahnya bila lepas buat half marathon, perut rasa lapar. Semalam dah bakor seribu lebih kalori. 

Saya sorang puasa hari ni. Suami kerja. Dan bila dia start kerja, dia akan kerja, tak habis-habis. Contohnya hari ni, saya sahur sorang, buka puasa nanti pun sorang. Huhu... 

Lepas Subuh, saya keluar jogging. Puasa puasa pun lari juga?

Saya slow-slow je hari ni. Recovery run. Dengan kak long. 

Dari kiri: Kak Long, saya, Kak Nyah dan Ezan

Saya jogging berdua dengan kak long, sementara Kak Nyah dengan Ezan. Bila berdua, senang jaga jarak. Kalau berempat, dia jadi makcik bawang, satu jalan akan di-conquer-nya. Hehe... tak boleh, tak boleh, jadi kami pecah 2. Waktu selpiaq je, kami kumpul sat. Lepas tu, balik.

Hari ni, saya jogging sejauh 7.74 km. Alhamdulillah.

Balik rumah, saya masuk dapur. Masak rendang daging berkuah. Suka biar kuah banyak, nak buat lauk, makan nasi. Lagipun, boleh colek roti kalau tak nak makan nasi.

Selamat berpuasa, kepada pembaca yang sedang berpuasa sunat syawal dan yang qado puasa juga. 

Jumpa lagi, ye. 😊